Saya sedang dilamun cinta. Cinta pandang pertama di MPH Alamanda membuahkan rindu yang tidak tertanggung. Kembali ke rumah, fikiran asyik teringat-ingat padanya.
Aku mesti memilikinya..
Subjek Agama dan Pemulihan yang disyarahkan oleh Dr Mohd Rushdan telah mencambahkan bibit minat dalam diri saya terhadap apa itu tasawuf. Ditambah pengalaman yang dikutip sekembali dari lawatan ke pusat rawatan penagih dadah di utara Semenanjung serta pembentangan kumpulan mengenai pendekatan rawatan penagihan di Terengganu, membuahkan persoalan yang melingkari minda tentang pendekatan tarekat yang digunapakai.
Saya mula mencari makna tasawuf, apa itu sufisme, tarekat, zikir jahar dan sebagainya. Adakah cabang ilmu tasawuf ini wajib diketahui oleh semua umat Islam? Dahulu saya dimomokkan oleh cakap-cakap bahawa tasawuf ialah ilmu mengenal Allah tahap tertinggi, barangsiapa yang tidak mampu eloklah tidak mendalaminya dikhuatiri tidak mampu menghadaminya. Saya yang langsung tidak mempunyai latarbelakang agama yang formal, mengaji setiap petang sewaktu di sekolah rendah pun culas kerana adanya tarikan siri Jepun Maero Attack, pada ketika dimomokkan sedemikian rupa menjadi gerun apabila mendengar tentang subjek Tasawuf.
Website yang disarankan oleh pensyarah saya layari penuh minat tetapi jauh di sudut hati saya belum benar-benar memahami konsepnya. Saya perlu berkenalan dahulu dengan Tasawuf, dan tahu tentang prinsip-prinsip asasnya sebelum mengetahui tentang praktisnya terutama di masa kini. Saya lontarkan pula persoalannya kepada suami yang berlatarpendidikan agama, juga beliau memohon kemaafan kerana tidak mampu mendalami ilmu tersebut.
Akhirnya..
Kunjungan ke MPH Alamanda mulanya diniatkan untuk mencari buku Furu' Masail. Malangnya ia tiada dalam stok. Dan tiba-tiba saya terpandang buku Tasawuf Kontemporari ini. Saya belek buku sampel dan ia benar-benar menarik minat saya. Saya belek dompet. Alamakkkk!!!!Saya hanya ada RM15 dalam tangan sedangkan buku ini berharga RM20.00!!Saya terpaksa lepaskan peluang memiliki buku ini.
Akhirnya malam tadi saya berpeluang juga memiliki buku yang sangat bagus ini walaupun sekadar mebaca 5 m/s setakat ini. Saya akan review buku ini sebaik sahaja habis dibaca.
Wassalam