Wednesday, October 31, 2012

Swedish Meatball

Suatu hari Kak Nora dan Mardziah menceritakan kesedapan Swedish Meatball yang dijual di IKEA. Saya dah lama tahu yang meatball IKEA ni sangat popular satu Malaya sampaikan terpaksa beratur untuk dapatkan hidangan ni.

Akan tetapi saya meragui status halal meatball ini. Di cafe IKEA itu juga tidak kelihatan tanda halal JAKIM. Makanya setiap kali pergi IKEA saya hanya mampu terliur. Nak makan tak berani. Carian di internet juga tak begitu meng'convince'kan saya. Apalagi bermulalah pencarian resipi Swedish meatball ini.

Di Sweden, ia dipanggil kottbullar. Dimakan bersama sosnya dan lingonberry jam serta dihidang bersama kentang goreng (ini mesti ada kat Cold Storage). Kalau di IKEA, sepiring hidangan yang mengandungi 20 biji meatball dijual dengan harga RM17.90 (harga katalog baru..hihi). Jika mengikut resipi asal, meatball ini dibuat daripada campuran daging lembu dan babi yang dikisar. Sebenarnya di IKEA luar negara malah di Singapura juga (kecuali di IKEA Tampines) meatballnya dibuat daripada campuran ini (sah2 tak halal).

Berikut diperturunkan resipi Swedish meatball yang telah saya ubahsuai :
Bahan-bahan:
Meatball :
500 g daging lembu kisar
3 ulas bawang putih dicincang
1 keping roti putih disiat*
2 sudu besar susu segar* (* campur kedua-duanya dan diramas)
1 sudu teh campuran jintan manis+putih+biji ketumbar ( disangai dan ditumbuk halus)
2 sudu besar minyak zaitun
Sedikit garam

Sos :
1 sudu besar lebihan minyak menggoreng meatball
2 sudu besar mentega
1 1/2 cawan stok daging
1 1/2 sudu besar tepung jagung gandum
1 sudu teh serbuk lada hitam
Sedikit garam

Cara-cara :
Meatball :
1. Campurkan kesemua bahan di dalam mangkuk adunan dan digaul rata
2. Bulat-bulatkan daging kisar dan pastikan saiznya adalah sama (boleh juga ditimbang untuk mendapat berat dan saiz yang sama)
3. Panaskan minyak zaitun dalam kuali non-stick. Setelah panas goreng meatball. Goyangkan kuali setiap 2 minit untuk memastikan ia masak sekata dan kekal bulat.

Sos :
1.  Cairkan mentega atas kuali yang mengandungi minyak gorengan tadi.
2. Setelah mentega cair, taburkan tepung gandum. Kacau rata.
3. Tuangkan stok daging dan kacau rata supaya tidak bergentel.
4. Perasakan dengan serbuk lada hitam dan garam. Kacau lagi sehingga kuah pekat
5. Curah kuah di atas meatball. Hidang bersama kentang goreng dan/atau lingonberry jam




Tuesday, October 23, 2012

Doa buat Ayahanda

Ya Allah,
Dugaan apakah yang Kau turunkan ini
Kepada ayahanda, bonda dan kami semua

Ya Allah
Engkaulah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Ya Rahim, sembuhkanlah hambaMu Abdurrahim

Ya Allah
Ampunilah dosa ayahanda dan bondaku
Sesungguhnya Engkaulah yang menjemput mereka ke Tanah SuciMu
Gembirakanlah kedua-duanya
Raikanlah kedua-duanya dengan janjiMu yang benar
Permudahkanlah urusan kedua-duanya di sana

Ya Allah
Ayahku sakit atas qada' dan qadarMu
Namun janganlah Engkau timpakan musibah ke atasNya atas dosanya yang belum terampun
Ampunkanlah dosa ayahandaku Ya Ghaffar
Angkatlah kesakitan dari tubuhnya
Izinkan ayahandaku menikmati suasana hening wukuf di Arafah
Masa yang dinanti-nantikan oleh semua umatMu
Saat di mana Engkau begitu hampir dengan umatMu

Ya Allah
Sampaikan salam kami anak-anaknya kepada ayahanda
Di sana-sini kami memohon
Sebanyak-banyak doa dipanjatkan ke atas ayahanda
Itu sahaja yang kami mampu lakukan
Di saat ayahanda jauh dari mata

Ya Allah
Serasa ingin terbang ke sana
Menatap dan berdoa di sisi ayahanda
Menumpahkan kasih sayang buat dirinya
Memberikan semangat pada jiwanya
Agar dia bangun menentang rasa sakitnya
Namun kami akur Ya Allah
Kebajikan tetamuMu lebih utama

Ya Allah
Sesungguhnya ayahandaku sedang berjuang
Demi memenuhi rukun Islamnya
Berilah dia kekuatan Ya Allah
Sebagaimana yang Kau berikan pada para mujahid
Andai Kau takdirkan dia pergi
Matikan dia sebagai as-syahid...Amin Ya Rabb!