Sunday, June 26, 2011

Laksam

Percubaan pertama. Alhamdulillah menjadi!

Bahan laksam :
2 cawan tepung beras
1 sudu besar tepung gandum
3 cawan air
Secubit garam

Bahan kuah :
10 ulas bawang merah - dikisar
4 ulas bawang putih - dikisar
Seinci halia - dikisar
1 sudu besar lada hitam ditumbuk
Santan dari 2 biji kelapa
10 ekor ikan kembong
5 ulas asam keping
5 cawan air
Garam
Gula

Sambal cili :
10 tangkai cili kering
Garam

Bahan tabur :
2 kuntum bunga kantan
Secekak daun kesum
1 biji timun dihiris
1/4 biji kobis dihiris
5 tangkai kacang panjang dihiris

Cara-cara :
1. Untuk membuat laksam, campurkan kesemua bahan ke dalam mangkuk. Kacau sehingga tidak bergentel. Panaskan kukusan. Sediakan tutup periuk yang leper. Sapu permukaan tutup periuk dengan sedikit minyak untuk elak adunan melekat. Tuang bancuhan tepung rata-rata dan kukus. Gulung tepung dan potong apabila sudah sejuk.

2. Rebus ikan dengan 3 cawan air dan 3 keping asam keping hingga empuk. Sejukkan ikan. Asingkan isi dengan tulang. Isi ikan ditumbuk dan masukkan semula ke dalam air rebusan tadi. Tulang-tulang ikan dikisar dengan secawan air. Tapis pati ikan dan tuang ke dalam air rebusan tadi.

3. Masukkan bahan kisar ke dalam air rebusan. Tuangkan santan dan ditambah dengan baki air tadi. Masukkan lada hitam. Masukkan 2 keping asam gelugor. Masak sehingga kuah menggelegak. Perasakan dengan garam dan sedikit gula.

4. Untuk membuat sambal lada, rebus lada kering hingga lembut. Tumbuk hingga lumat dan perasakan dengan garam. Hidangkan dengan bahan tabur.

Tips :
1. Gulung tepung dengan pisau penyapu roti/batang sudu sementara ia masih panas. Dirikan tudung periuk setinggi 60 darjah dan gulung. Tepung akan menggulung dengan sendiri dan memudahkan proses penggulungan.

2. Untuk menambah kemanisan kuah, saya kisar lumat segenggam ikan bilis dan campurkan ke dalam kuah.

(Nota : saya teringat perbualan saya dengan suami di awal perkahwinan. Suami mengaku ibu mentua saya pada mulanya berhajat bermenantukan orang Kelantan juga. Tetapi sudah jodoh suami dengan saya yang bukan orang Kelantan. Sepanjang perkahwinan, saya berusaha mempelajari masakan Kelantan demi memenuhi selera suami. Alhamdulillah kebanyakan menjadi. Saya berharap untuk terus menambat hati suami dan mentua melalui masakan saya. Resepi ini khas didedikasikan untuk ibu mentua saya, Puan Che Saidah..:)

Wednesday, June 1, 2011

Apa ada di sebalik nama?

Mummy tertarik dengan rencana berkenaan sahabat Nabi SAW, Umar Al-Khattab dalam ruangan Agama di Berita Harian pada hari ini. Berikut adalah rencananya :

Sumber : Berita Harian, 1 Jun 2011.

Iqra: Umar tinggalkan contoh kepemimpinan saksama


2011/06/01

SEPANJANG 10 tahun pemerintahannya, Madinah menjadi negara terbesar yang menyinari dunia kerana umat Islam ketika itu berada dalam satu kesatuan hingga mewujudkan kemakmuran, persamaan, persaudaraan dan kemanusiaan.

Kegemilangan pemerintahan Umar Al-Khattab menjadi contoh ikutan kepemimpinan hari ini yang dahagakan keharmonian dan keamanan. Ada yang mahu menjadi pemimpin seperti beliau yang adil terhadap rakyat dan bertindak tegas walaupun dalam perkara membabitkan keperluan keluarganya.
Buku Umar bin Al-Khattab The Conqueror membawa pembaca bersama pemimpin ulung itu mengembara episod demi episod kehidupan beliau yang dipenuhi kebaikan, keindahan, sinar cinta serta kegembiraan rakyat yang berpuas hati dengan cara kepemimpinannya yang adil saksama.
Umar juga pemimpin yang membuktikan idea baru boleh melakar sejarah dengan syarat dilaksanakan sepenuh hati. Beliau juga memperkenalkan subsidi untuk kesejahteraan sosial serta memberitahu rakyat di bawah pemerintahannya mereka dan orang Arab sama.

Dia juga yang pertama menjadikan pengadilan sebagai badan bebas untuk menjamin keadilan hak setiap orang selain membuat peraturan tegas supaya dipatuhi pegawainya. Jika tidak, mereka bakal berdepan tindakan kerana setiap yang melanggar peraturan perlu mene-rima kesannya.

Sebagai pemimpin rakyat, kisah Umar yang membuat kawalan malam untuk melihat lebih dekat kehidupan rakyat sehingga kini menjadi kisah bualan. Malah, itulah contoh sentiasa diulang untuk membuktikan kebijaksanaan serta keprihatinan beliau.

Pastinya semua tahu kisah Amirul Mukminin yang mengambil sendiri gandum dari stor simpanan, memasak dan menyuapkan ke mulut anak kecil yang menangis kelaparan. Itulah jiwa pemimpin yang tidak akan rasa senang jika rakyatnya berdepan dengan masalah.
Membaca buku Umar bin Al-Khattab The Conqueror akan mencambah minat untuk mengenali pemimpin ini dengan lebih dekat dan mendalami daya pemikiran beliau.
Buku setebal 503 halaman boleh menjadi rujukan semua yang mungkin sedang mencari idola untuk dicontohi.

Penulisan gaya novel memudahkan pembaca menyelami serta merasai sendiri pengalaman seolah mereka turut serta mengembara bersama pemimpin agung ini.

Rencana di atas merupakan ulasan buku Umar bin Al-Khattab The Conqueror, tokoh yang Mummy kagumi.

Mummy nak Umar tahu bahawa Mummy dan Papa namakan anak-anak kami atas sesuatu sebab. Mummy dan Papa bukan sahaja suka-suka letak nama yang hanya indah di bibir tetapi tidak membawa apa-apa makna dan harapan. Apabila kami memilih nama Umar untuk anak sulung yang dikasihi, kami berharap agar anakanda bakal mengikut sikap-sikap terpuji Saidina Umar Al-Khattab dan cicitnya Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang terkenal dengan sikap adil dalam pemerintahan.

Begitulah harapan Mummy dan Papa.

Tuesday, May 31, 2011

Baru ku sedar

Baru ku sedar..

Tugas ku di pejabat sebenarnya sungguh berat...melibatkan seluruh rakyat Malaysia dan bukan rakyat Malaysia.

Baru ku sedar..

Allah tidak akan menguji hambaNya melainkan sesuai dengan kemampuan hambaNya

Baru ku sedar..

Aku ini insan yang kuatkah di pandangan Tuhanku?

"Ya Allah, Kau permudahkanlah apa yang sukar, ringankanlah apa yang berat, leraikanlah apa yang tersimpul, sesungguhnya aku tidak mampu lagi menanggung beban ini, tapi Engkau Maha Bijaksana, Kau berikan bebanan supaya aku menjadi kuat..permudahkanlah urusanku di dunia dan akhirat. Berikanlah aku kesabaran yang tinggi. Aminnn"

Sunday, May 29, 2011

Rissoles


Semalam suami membelikan satu pek rissoles di Petronas berdekatan rumah. Ermmmm sedap sungguh. Saya pun apalagi dengan excitednya menggugel resepi ini. Memandangkan bahan-bahan yang ada di rumah tidak mencukupi, saya guna apa yang ada sahaja. Contoh : resepi asal guna susu segar untuk outer layer nya, tapi saya gantikan dengan susu tepung. Oleh kerana saya tidak menyimpan stok breadcrumb, saya buat sendiri dengan cara membakar beberapa keping roti putih sehingga garing kemudian dikisar (jangan sampai halus sangat, nanti jadi seperti tepung. Saya masukkan dalam zip-lock bag dan ketuk2 dengan rolling pin sampai berderai). Ok, di bawah ialah resepinya :

Bahan inti :
Lobak merah didadu kecil
Ubi kentang didadu kecil
Daging ayam kisar
Bawang putih ditumbuk
Serbuk lada hitam
Secubit garam
Minyak untuk menumis

Bahan outer layer :
Tepung gandum
Susu tepung atau susu segar
Sebiji telur
Secubit garam
Air secukupnya (jika menggunakan susu segar, tidak perlu guna air)

Lain-lain bahan :
Serbuk roti
Sebiji telur (dipukul)

Cara-cara membuat :
1. Bahan inti : Tumis bawang putih sehingga naik bau. Masukkan daging ayam kisar. Kemudian masukkan lobak merah dan ubi kentang. Tambah sedikit serbuk lada hitam. Perasakan dengan garam. Apabila lobak dan ubi kentang telah layu, bolehlah diangkat.

2. Bahan outer layer : Satukan kesemua bahan dalam mixing bowl. Pukul dengan whisk sehingga tiada ketulan. Tambah air jika perlu sehingga mencapai konsentrasi yang diperlukan (seperti adunan crepe/lempeng)

3. Panaskan kuali non-stick (bagus guna non-stick sebab tak perlu guna minyak). Sendukkan satu adunan batter dan dadar di atas kuali. Tidak perlu tebal, nipis sudah memadai. Tidak perlu juga biarkan adunan sampai berkerak seperti lempeng biasa. Tips : apabila adunan putih batter bertukar warna jernih, boleh terus angkat.

4. Sudukan inti ke atas adunan crepe. Gulung seperti membuat kuih ketayap. Celup dalam telur yang telah dipukul dan kemudian salutkan dengan serbuk roti dan goreng sehingga kekuninggan (gambar di atas terlebih goreng. Leka dengan kerja lain). Sesuai untuk hidangan sarapan pagi atau minum petang.

Monday, May 9, 2011

Rindu

Malam tadi sukar sekali saya melelapkan mata. Antara kerinduan yang amat dan tuntutan amanah dan tanggungjawab, saya bungkam. Saya terbayang segala saat-saat manis selama dua tahun ini.

Sejak kelahiran Umar, Mak dan Ayahlah yang membantu kami menjaganya baik semasa dalam pantang mahupun setelah saya kembali bekerja. Terbayang pengorbanan mereka berdua yang sanggup meninggalkan rumah sendiri dan tinggal bersama kami dan cuma balik hujung minggu sahaja menjenguk rumah.

Kehadiran Mak dan Ayah benar2 membantu meringankan beban kami. Mak yang memang kaki pengemas tak boleh duduk diam, ada sahaja kerja yang dilakukan dari memasak, mengemas, membasuh memandikan Umar dan segala-galanya. Ayah pula dengan rutin melayan Umar, bawa Umar pergi berjalan, menidurkan, memberikan susu sehingga Umar sangat rapat dengan Atuknya. Tugas mereka hanya terhenti apabila kami pulang dari kerja, itupun adakala saya minta mereka tengokkan Umar sementara saya buat kerja rumah.

Laju air mata saya mengalir di bantal apabila terkenang rumah kami hidup dengan qiyamullail dan bacaan AlQuran mereka berdua tiap-tiap malam. Surau AlFurqan yang memang sedia hidup dengan aktiviti keagamaan bertambah rancak dengan kehadiran Mak dan Ayah yang meramaikan jemaah terutamanya setiap Maghrib, Isyak dan Subuh. Di saat saya dan suami masih lena, Mak Ayah dah bersiap-siap menuju ke surau setiap Subuh. Teringat rancangan Tanyalah Ustaz yang Mak Ayah akan ikuti setiap pagi dan Mak sambil menumbuk rencah nasi goreng di muka pintu dapur sambil mata menghadap TV, tak mahu ketinggalan walau secebis ilmu daripada rancangan tersebut.

Tengok halaman rumah, terkenang Ayah yang rajin menyabit rumput yang kian panjang. Pokok pandan dan pokok puding yang selalu digunakan dalam masakan rendang Negeri Sembilan, Ayah tanam di tanah sekangkang kera. Begitu juga pokok betik yang benihnya Ayah bawa dari Pahang. Teringat-teringat Ayah rajin melayan Umar breakfast, diletaknya Umar di pangkuannya sambil menyuap cucu yang satu hampir setiap pagi. Sampai si Umar pernah satu ketika enggan dilayan oleh Papanya sendiri. Ayah juga rajin bawa Umar jalan-jalan naik kereta, pergi ke playground berhampiran. Kadang-kadang Ayah mengeluh letih jaga Umar sebab dia lasak dan tak pandai duduk diam tapi esok dan hari2 seterusnya rutin sama juga dilakukan dengan penuh kasih sayang.

Bila waktu tidur, Ayah penuh cermat sambil mulut mengalunkan zikrullah akan menghenjut buaian Umar sampai cucunya lena. Kadang-kadang Ayah turut terlelap sama. Malam2 bila tiada rancangan menarik, Ayah akan naik ke bilik dan baca buku kegemaran. Umar pula rajin mengikut Atuknya dengan tujuan bermain dengan remote control kipas bilik Ayah. Terbayang jerit pekik Ayah memarahi cucunya bila kipas dipadamkan oleh tangan mungil Umar. Kadang-kadang Umar turut terlelap dalam dakapan Atuknya dan saya akan pangku Umar masuk ke bilik saya.

Kalau sebelum ini, setiap petang Ahad saya akan telefon tanya Mak sama ada Mak Ayah makan di rumah atau rumah Kak Long. Setiap Ahad malam Isnin, selagi Mak Ayah belum tiba saya akan bercakap-cakap dengan Umar " Atuk..mana atuk Umar?Bila Atuk nak sampai" dan Umar akan meluru ke pintu bila dengar sahaja bunyi kereta Atuknya memasuki halaman rumah.

Pagi tadi bila saya terjaga jam 5.30 pagi, tiada lagi bunyi air mengalir dari bilik air bilik Mak dan Ayah. Bila saya turun bawah, bilik bawah gelap gelita sedangkan sebelum ini bilik itu terang benderang dihiasi alunan bacaan AlQuran oleh Mak. Ruang tamu juga sepi, tiada lagi bentangan sejadah Ayah mendirikan solat malam. Jika sebelum ini saya meninggalkan rumah dalam keadaan bersepah, balik kerja segalanya kemas dan lapang tetapi pagi tadi saya meninggalkan rumah dalam keadaan bersepah, dan saya tahu balik kerja nanti ia tetap berkeadaan begitu.

Kini rumah kami sunyi sepi. Tiada lagi jerit pekik suara Ayah memarahi Umar yang lasak. Tiada lagi suara Mak mengalunkan ayat-ayat suci dalam bilik kecil di tingkat bawah. Tiada lagi Adik yang sering menjadi 'sparring partner' Umar. Saya rindu Mak dan Ayah!Suami memujuk 'Minggu ni kita balik kampung ye?'

Betullah orang kata, kita akan menghargai seseorang bila orang itu tiada depan mata.

Sunday, May 8, 2011

IBU

Hari ini hari ibu. Di saat orang lain mengucapkan selamat hari ibu dan terima kasih kepada ibu masing-masing, saya ingin berterima kasih juga kepada Kak Long dan anak saya kerana :

1) apabila Kak Long lahir, maka dengan rasminya Mak menjadi IBU. Dan selepas itu lahirlah saya dan dua orang adik saya. Mak berhak mendapat ucapan Selamat Hari Ibu.

2) apabila Umar lahir maka rasmilah saya menjadi IBU. Dan pada hari ini saya berhak mendapat ucapan selamat hari ibu..

Selamat Hari Ibu.

Thursday, May 5, 2011

Mati

Hmmm...hari-hari kisah pembunuhan disiar di media.

Kelmarin, jurutera wanita dibunuh teman lelaki kerana putus hubungan di Kedah.

Semalam kami sekeluarga dikejutkan dengan pembunuhan kenalan keluarga, kontraktor dan isterinya di Bentong.

Hari ini seorang wanita dibunuh tunangnya kerana cemburu buta.

Mari lah sama-sama berdoa agar kita mati dalam husnul khatimah..Amin.