Wednesday, January 2, 2013

Kenderaan Hidup


Gambar kredit kepada bornrich.com

Setiap manusia yang hidup di bumi ini mempunyai satu matlamat destinasi iaitu untuk hidup bahagia di dalam syurga di akhirat dan bertemu dengan Tuhan yang Satu. Kehidupan manusia di dunia ibarat sebuah perjalanan. Untuk menuju destinasi abadi semestinya perlukan kenderaan. Satu-satumya kenderaan yang dapat memandu manusia ke syurga ialah agama Islam..hanya ISLAM.

Manusia yang telah sedia menaiki kenderaan jenama ISLAM itu perlulah memandunya dengan baik, mengikuti segala peraturan penggunaan dalam manual yang dinamakan Al-Quran. Berhati-hati dengan kenderaan lain jenama BUKAN ISLAM, adakalanya ia menghormati kenderaan ISLAM, adakalanya ia dipandu mengikut kata hati yang melulu. Seandainya terjadi kemalangan sedang kita tetap patuh pada manualnya, insyaa Allah syahid lah kita.

Ada kala kemungkinan dalam situasi tak diduga, ia rosak. Contohnya dilanggar kenderaan lain. Tidak mengapa, kita boleh hantar kenderaan itu untuk diservis dengan cara merujuk kembali kepada manual bernama Al-Quran tersebut.

Kenderaan jenama ISLAM kita itu bertaraf kenderaan mewah iaitu besar, luas dan selesa. Maka janganlah sesekali lupa untuk menumpangkan orang yang tiada berkenderaan atau kenderaan BUKAN ISLAMnya rosak di tepi jalan. Moga-moga kita dipermudahkan untuk sampai ke destinasi abadi..Aminn

Friday, November 2, 2012

Mutiara Hikmah Dari Aki Razak

Saya suka berborak dengan warga emas. Tapi saya sendiri sudah tak mempunyai datuk/nenek kedua-dua belah pihak. Yang terakhir meninggalkan dunia ialah arwah Wan Pilah pada tahun 2004. Arwah Aki Adam lagilah tak pernah kenal sebab beliau meninggal dunia pada tahun 1974. Mak pun belum kahwin masa tu. Kami cucu-cucu Haji Adam hanya kenal arwah Aki melalui gambar sahaja. Arwah Atuk Pilah pulak meninggal dunia pada tahun 1992 semasa saya Darjah 6. Ingat lagi malam tuh sebaik dapat berita Atuk meninggal, kami bergegas ke KL ambil Kak Long untuk pulang ke Kuala Pilah. Kak Long ada aktiviti BBCourt masa tu (BB court yg banyak kenangan). Dan yang paling meninggalkan kesan dalam hidup saya ialah pemergian Arwah Wan Hasmah pada tahun 2003...

Saya baharu pulang dari berziarah ke rumah Aki Razak di Hulu Langat. Seronok berborak dengan beliau sebab ada banyak kata-kata nasihat yang beliau titipkan buat generasi muda. Antara mutiara hikmah yang saya kutip dari ziarah tadi :

1) Bila kita di atas, jangan lupa saudara-mara. Jadilah seperti orang kelantan yang suka membantu orang senegeri apatah lagi saudara yang mempunyai pertalian darah. Bila kita duduk di kerusi pengarah/pengurus, ambillah saudara-mara bekerja di organisasi kita bersesuaian dengan peribadi dan kelayakan individu tersebut.

2) Apa pun jika menolong jangan secara membuta tuli. Beri bantuan ikhlas asalkan ia tidak menyalahi norma dan undang-undang. Tolak secara berhemah jika ianya berlaku.

3) Bantulah saudara-mara kita yang susah. Jangan lupa ziarah saudara-mara yang tidak berkemampuan. Kita yang ada kemampuanlah yang 'reach out' walaupun saudara itu bertaraf adik/anak kepada kita.

Ohhh...rasa seronok bergaul dengan orang-orang tua. Agaknya saya rindukan 'grandma' figure kut?Kebetulan semasa di rumah Aki terima mesej dari celcom yang berbunyi '1Malaysia utamakan keluarga!yang tua dihormati, yang muda disayangi-Najib razak-' ...Ai ai Mr PM!

Wednesday, October 31, 2012

Swedish Meatball

Suatu hari Kak Nora dan Mardziah menceritakan kesedapan Swedish Meatball yang dijual di IKEA. Saya dah lama tahu yang meatball IKEA ni sangat popular satu Malaya sampaikan terpaksa beratur untuk dapatkan hidangan ni.

Akan tetapi saya meragui status halal meatball ini. Di cafe IKEA itu juga tidak kelihatan tanda halal JAKIM. Makanya setiap kali pergi IKEA saya hanya mampu terliur. Nak makan tak berani. Carian di internet juga tak begitu meng'convince'kan saya. Apalagi bermulalah pencarian resipi Swedish meatball ini.

Di Sweden, ia dipanggil kottbullar. Dimakan bersama sosnya dan lingonberry jam serta dihidang bersama kentang goreng (ini mesti ada kat Cold Storage). Kalau di IKEA, sepiring hidangan yang mengandungi 20 biji meatball dijual dengan harga RM17.90 (harga katalog baru..hihi). Jika mengikut resipi asal, meatball ini dibuat daripada campuran daging lembu dan babi yang dikisar. Sebenarnya di IKEA luar negara malah di Singapura juga (kecuali di IKEA Tampines) meatballnya dibuat daripada campuran ini (sah2 tak halal).

Berikut diperturunkan resipi Swedish meatball yang telah saya ubahsuai :
Bahan-bahan:
Meatball :
500 g daging lembu kisar
3 ulas bawang putih dicincang
1 keping roti putih disiat*
2 sudu besar susu segar* (* campur kedua-duanya dan diramas)
1 sudu teh campuran jintan manis+putih+biji ketumbar ( disangai dan ditumbuk halus)
2 sudu besar minyak zaitun
Sedikit garam

Sos :
1 sudu besar lebihan minyak menggoreng meatball
2 sudu besar mentega
1 1/2 cawan stok daging
1 1/2 sudu besar tepung jagung gandum
1 sudu teh serbuk lada hitam
Sedikit garam

Cara-cara :
Meatball :
1. Campurkan kesemua bahan di dalam mangkuk adunan dan digaul rata
2. Bulat-bulatkan daging kisar dan pastikan saiznya adalah sama (boleh juga ditimbang untuk mendapat berat dan saiz yang sama)
3. Panaskan minyak zaitun dalam kuali non-stick. Setelah panas goreng meatball. Goyangkan kuali setiap 2 minit untuk memastikan ia masak sekata dan kekal bulat.

Sos :
1.  Cairkan mentega atas kuali yang mengandungi minyak gorengan tadi.
2. Setelah mentega cair, taburkan tepung gandum. Kacau rata.
3. Tuangkan stok daging dan kacau rata supaya tidak bergentel.
4. Perasakan dengan serbuk lada hitam dan garam. Kacau lagi sehingga kuah pekat
5. Curah kuah di atas meatball. Hidang bersama kentang goreng dan/atau lingonberry jam




Tuesday, October 23, 2012

Doa buat Ayahanda

Ya Allah,
Dugaan apakah yang Kau turunkan ini
Kepada ayahanda, bonda dan kami semua

Ya Allah
Engkaulah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Ya Rahim, sembuhkanlah hambaMu Abdurrahim

Ya Allah
Ampunilah dosa ayahanda dan bondaku
Sesungguhnya Engkaulah yang menjemput mereka ke Tanah SuciMu
Gembirakanlah kedua-duanya
Raikanlah kedua-duanya dengan janjiMu yang benar
Permudahkanlah urusan kedua-duanya di sana

Ya Allah
Ayahku sakit atas qada' dan qadarMu
Namun janganlah Engkau timpakan musibah ke atasNya atas dosanya yang belum terampun
Ampunkanlah dosa ayahandaku Ya Ghaffar
Angkatlah kesakitan dari tubuhnya
Izinkan ayahandaku menikmati suasana hening wukuf di Arafah
Masa yang dinanti-nantikan oleh semua umatMu
Saat di mana Engkau begitu hampir dengan umatMu

Ya Allah
Sampaikan salam kami anak-anaknya kepada ayahanda
Di sana-sini kami memohon
Sebanyak-banyak doa dipanjatkan ke atas ayahanda
Itu sahaja yang kami mampu lakukan
Di saat ayahanda jauh dari mata

Ya Allah
Serasa ingin terbang ke sana
Menatap dan berdoa di sisi ayahanda
Menumpahkan kasih sayang buat dirinya
Memberikan semangat pada jiwanya
Agar dia bangun menentang rasa sakitnya
Namun kami akur Ya Allah
Kebajikan tetamuMu lebih utama

Ya Allah
Sesungguhnya ayahandaku sedang berjuang
Demi memenuhi rukun Islamnya
Berilah dia kekuatan Ya Allah
Sebagaimana yang Kau berikan pada para mujahid
Andai Kau takdirkan dia pergi
Matikan dia sebagai as-syahid...Amin Ya Rabb!

Friday, August 31, 2012

Pergi

Kadangkala kehilangan akan menemukan kita kepada suatu yang lebih mulia dan berharga!” 
Ustaz Pahrol Mohamad Juoi @ genta-rasa.com

Berulang-ulang saya membaca ayat ini. Saya mahu mempositifkan fikiran saya bahawa di sebalik kehilangan itu ada hikmah. Di sebalik gugurnya kandungan kedua saya, tentu Allah mahu beri yang lebih baik. Sebaik ianya berlaku dan doktor sahkan keguguran, saya muhasabah sebanyak-banyaknya demi menutup kesedihan yang melanda. Saya hamil di kala jiwa dan fikiran saya kacau bilau, ditambah berjaga malam demi menyiapkan assignment. Di saat kesibukan itu, saya merintih 'di kala umat mengejar 10 malam terakhir, saya sibuk mengejar dateline!'. Walaupun seringkali saya bermonolog agar kandungan itu tabah mengharung ujian, akhirnya ia tewas juga.

Saya teringat kata-kata doktor "itu tandanya kandungan awak tak sihat, sebab tu ia gugur". Betul. Jika ditakdirkan ia membesar, ia akan menjadi kandungan yang tidak sihat dan jika ia lahir ia akan jadi bayi yang tidak sihat. Sesungguhnya saat itu saya sedar Allah tahu setiap kejadiannya dan sejauhmana hambaNya mampu menghadapi ujianNya. Allah mahu berkata "Kamu tidak mampu menghadapinya nanti!" 

Kami akan sabar menanti, Insya Allah.

Sunday, August 12, 2012

Nikmat tidur

Jam sudah menunjukkan pukul 4.00 pagi. Lenguh-lenguh badan dan sakit kepala mula menjengah, isyarat badan perlukan rehat. Saya dongak memandang jam, ada satu jam lagi sebelum bangun semula untuk bersahur. Saya akhirnya memilih untuk melelapkan mata, memberi peluang kepada badan untuk berehat.

Sebaik sahaja kepala diletakkan atas bantal, saya terus lena. Seingat saya, mimpi datang bersambung-sambung. Seingat saya juga saya mengalami mimpi yang panjang, membayangkan saya tidur lama.

Kemudian saya terjaga. Sangka saya dah terlepas waktu sahur, maklumlah tak cukup tidur menyiapkan assignment. Aneh, jarum jam menunjukkan pukul 4.15 pagi. Bermakna baru 15 minit saya tidur. Tetapi saya merasakan tidur saya panjang. Saya sambung tidur, dan mimpi pun bersambung lagi. Sekali lagi saya mengalami mimpi yang panjang. Dan sekali lagi saya terjaga kerana takut terlepas waktu sahur. Sekali lagi keanehan berlaku, jam menunjukkan pukul 4.25 pagi.

Saya merenung insiden yang berlaku pada diri saya pagi tadi. Pada saya ianya satu keanehan dan rahmat mungkin. Tempoh tidur yang pendek tetapi dapat menikmati tidur seolah-olah lena yang panjang. Wallahua'lam

Friday, August 10, 2012

Syukur

Alhamdulillah di bulan yang mulia ini Allah memakbulkan doa saya dan suami. Selepas doktor sahkan kami bakal menerima ahli keluarga baru InsyaAllah tahun hadapan, saya mengambil kesempatan untuk refleksi diri. Terlalu banyak rahmat yang Allah beri kepada hambaNya. Tetapi terlalu sedikit rasa syukur yang dipanjatkan. Dan satu lagi yang saya belajar tentang kehidupan ini ialah, kita semua berhak untuk mencipta satu matlamat dan berusaha ke arah itu. Termasuk matlamat mendapatkan anak. Tetapi dalam hal perancangan keluarga (kerana ia membabitkan aspek fizikal juga), saya dapati jika kita tidak terlalu mengejar matlamat (yang diterjemahkan melalui usaha yang bersulam sedikit keterpaksaan) hanya akan menyebabkan kita kecewa. Agak saya bila kita terlalu nak, badan akan mengeluarkan stressor substance yang mungkin mengganggu hormon kehamilan..Wallahualam