Wednesday, October 31, 2012

Swedish Meatball

Suatu hari Kak Nora dan Mardziah menceritakan kesedapan Swedish Meatball yang dijual di IKEA. Saya dah lama tahu yang meatball IKEA ni sangat popular satu Malaya sampaikan terpaksa beratur untuk dapatkan hidangan ni.

Akan tetapi saya meragui status halal meatball ini. Di cafe IKEA itu juga tidak kelihatan tanda halal JAKIM. Makanya setiap kali pergi IKEA saya hanya mampu terliur. Nak makan tak berani. Carian di internet juga tak begitu meng'convince'kan saya. Apalagi bermulalah pencarian resipi Swedish meatball ini.

Di Sweden, ia dipanggil kottbullar. Dimakan bersama sosnya dan lingonberry jam serta dihidang bersama kentang goreng (ini mesti ada kat Cold Storage). Kalau di IKEA, sepiring hidangan yang mengandungi 20 biji meatball dijual dengan harga RM17.90 (harga katalog baru..hihi). Jika mengikut resipi asal, meatball ini dibuat daripada campuran daging lembu dan babi yang dikisar. Sebenarnya di IKEA luar negara malah di Singapura juga (kecuali di IKEA Tampines) meatballnya dibuat daripada campuran ini (sah2 tak halal).

Berikut diperturunkan resipi Swedish meatball yang telah saya ubahsuai :
Bahan-bahan:
Meatball :
500 g daging lembu kisar
3 ulas bawang putih dicincang
1 keping roti putih disiat*
2 sudu besar susu segar* (* campur kedua-duanya dan diramas)
1 sudu teh campuran jintan manis+putih+biji ketumbar ( disangai dan ditumbuk halus)
2 sudu besar minyak zaitun
Sedikit garam

Sos :
1 sudu besar lebihan minyak menggoreng meatball
2 sudu besar mentega
1 1/2 cawan stok daging
1 1/2 sudu besar tepung jagung gandum
1 sudu teh serbuk lada hitam
Sedikit garam

Cara-cara :
Meatball :
1. Campurkan kesemua bahan di dalam mangkuk adunan dan digaul rata
2. Bulat-bulatkan daging kisar dan pastikan saiznya adalah sama (boleh juga ditimbang untuk mendapat berat dan saiz yang sama)
3. Panaskan minyak zaitun dalam kuali non-stick. Setelah panas goreng meatball. Goyangkan kuali setiap 2 minit untuk memastikan ia masak sekata dan kekal bulat.

Sos :
1.  Cairkan mentega atas kuali yang mengandungi minyak gorengan tadi.
2. Setelah mentega cair, taburkan tepung gandum. Kacau rata.
3. Tuangkan stok daging dan kacau rata supaya tidak bergentel.
4. Perasakan dengan serbuk lada hitam dan garam. Kacau lagi sehingga kuah pekat
5. Curah kuah di atas meatball. Hidang bersama kentang goreng dan/atau lingonberry jam




Tuesday, October 23, 2012

Doa buat Ayahanda

Ya Allah,
Dugaan apakah yang Kau turunkan ini
Kepada ayahanda, bonda dan kami semua

Ya Allah
Engkaulah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Ya Rahim, sembuhkanlah hambaMu Abdurrahim

Ya Allah
Ampunilah dosa ayahanda dan bondaku
Sesungguhnya Engkaulah yang menjemput mereka ke Tanah SuciMu
Gembirakanlah kedua-duanya
Raikanlah kedua-duanya dengan janjiMu yang benar
Permudahkanlah urusan kedua-duanya di sana

Ya Allah
Ayahku sakit atas qada' dan qadarMu
Namun janganlah Engkau timpakan musibah ke atasNya atas dosanya yang belum terampun
Ampunkanlah dosa ayahandaku Ya Ghaffar
Angkatlah kesakitan dari tubuhnya
Izinkan ayahandaku menikmati suasana hening wukuf di Arafah
Masa yang dinanti-nantikan oleh semua umatMu
Saat di mana Engkau begitu hampir dengan umatMu

Ya Allah
Sampaikan salam kami anak-anaknya kepada ayahanda
Di sana-sini kami memohon
Sebanyak-banyak doa dipanjatkan ke atas ayahanda
Itu sahaja yang kami mampu lakukan
Di saat ayahanda jauh dari mata

Ya Allah
Serasa ingin terbang ke sana
Menatap dan berdoa di sisi ayahanda
Menumpahkan kasih sayang buat dirinya
Memberikan semangat pada jiwanya
Agar dia bangun menentang rasa sakitnya
Namun kami akur Ya Allah
Kebajikan tetamuMu lebih utama

Ya Allah
Sesungguhnya ayahandaku sedang berjuang
Demi memenuhi rukun Islamnya
Berilah dia kekuatan Ya Allah
Sebagaimana yang Kau berikan pada para mujahid
Andai Kau takdirkan dia pergi
Matikan dia sebagai as-syahid...Amin Ya Rabb!

Friday, August 31, 2012

Pergi

Kadangkala kehilangan akan menemukan kita kepada suatu yang lebih mulia dan berharga!” 
Ustaz Pahrol Mohamad Juoi @ genta-rasa.com

Berulang-ulang saya membaca ayat ini. Saya mahu mempositifkan fikiran saya bahawa di sebalik kehilangan itu ada hikmah. Di sebalik gugurnya kandungan kedua saya, tentu Allah mahu beri yang lebih baik. Sebaik ianya berlaku dan doktor sahkan keguguran, saya muhasabah sebanyak-banyaknya demi menutup kesedihan yang melanda. Saya hamil di kala jiwa dan fikiran saya kacau bilau, ditambah berjaga malam demi menyiapkan assignment. Di saat kesibukan itu, saya merintih 'di kala umat mengejar 10 malam terakhir, saya sibuk mengejar dateline!'. Walaupun seringkali saya bermonolog agar kandungan itu tabah mengharung ujian, akhirnya ia tewas juga.

Saya teringat kata-kata doktor "itu tandanya kandungan awak tak sihat, sebab tu ia gugur". Betul. Jika ditakdirkan ia membesar, ia akan menjadi kandungan yang tidak sihat dan jika ia lahir ia akan jadi bayi yang tidak sihat. Sesungguhnya saat itu saya sedar Allah tahu setiap kejadiannya dan sejauhmana hambaNya mampu menghadapi ujianNya. Allah mahu berkata "Kamu tidak mampu menghadapinya nanti!" 

Kami akan sabar menanti, Insya Allah.

Sunday, August 12, 2012

Nikmat tidur

Jam sudah menunjukkan pukul 4.00 pagi. Lenguh-lenguh badan dan sakit kepala mula menjengah, isyarat badan perlukan rehat. Saya dongak memandang jam, ada satu jam lagi sebelum bangun semula untuk bersahur. Saya akhirnya memilih untuk melelapkan mata, memberi peluang kepada badan untuk berehat.

Sebaik sahaja kepala diletakkan atas bantal, saya terus lena. Seingat saya, mimpi datang bersambung-sambung. Seingat saya juga saya mengalami mimpi yang panjang, membayangkan saya tidur lama.

Kemudian saya terjaga. Sangka saya dah terlepas waktu sahur, maklumlah tak cukup tidur menyiapkan assignment. Aneh, jarum jam menunjukkan pukul 4.15 pagi. Bermakna baru 15 minit saya tidur. Tetapi saya merasakan tidur saya panjang. Saya sambung tidur, dan mimpi pun bersambung lagi. Sekali lagi saya mengalami mimpi yang panjang. Dan sekali lagi saya terjaga kerana takut terlepas waktu sahur. Sekali lagi keanehan berlaku, jam menunjukkan pukul 4.25 pagi.

Saya merenung insiden yang berlaku pada diri saya pagi tadi. Pada saya ianya satu keanehan dan rahmat mungkin. Tempoh tidur yang pendek tetapi dapat menikmati tidur seolah-olah lena yang panjang. Wallahua'lam

Friday, August 10, 2012

Syukur

Alhamdulillah di bulan yang mulia ini Allah memakbulkan doa saya dan suami. Selepas doktor sahkan kami bakal menerima ahli keluarga baru InsyaAllah tahun hadapan, saya mengambil kesempatan untuk refleksi diri. Terlalu banyak rahmat yang Allah beri kepada hambaNya. Tetapi terlalu sedikit rasa syukur yang dipanjatkan. Dan satu lagi yang saya belajar tentang kehidupan ini ialah, kita semua berhak untuk mencipta satu matlamat dan berusaha ke arah itu. Termasuk matlamat mendapatkan anak. Tetapi dalam hal perancangan keluarga (kerana ia membabitkan aspek fizikal juga), saya dapati jika kita tidak terlalu mengejar matlamat (yang diterjemahkan melalui usaha yang bersulam sedikit keterpaksaan) hanya akan menyebabkan kita kecewa. Agak saya bila kita terlalu nak, badan akan mengeluarkan stressor substance yang mungkin mengganggu hormon kehamilan..Wallahualam

Saturday, July 28, 2012

Ranting

Having to sit for exam together with other young takers makes me feel younger!Am sitting for MUET exam tomorrow for another remaining three papers i.e reading, writing and listening. On reading, I fear of not comprehending the texts well. On writing, I foresee mental block might be of superior anxiety. On listening, I fear of inability to capture due to minor hearing impairment.

I hear the clock ticking. Within hours it will be right in front of my face. Pheww

Wednesday, June 20, 2012

Sahabat

Perkhabaran yang diterima siang tadi benar-benar menyentak emosi saya. Walaupun maklumat sebenar belum diketahui, saya dapat merasakan sahabat saya, B menghidapi penyakit yang serius dan berpanjangan. B ialah sahabat sekuliah saya di UKM satu ketika dahulu.

Dulu-dulu saya tidaklah begitu rapat dengan B. Cuma kenal gitu-gitu bak kata orang. B datang dari kalangan keluarga berada dan saya difahamkan keluarganya merupakan orang yang disegani dan punya empayar perniagaan yang boleh dibanggakan di Sabah. Ditakdirkan pula beliau bertemu jodoh (kali pertama) dengan anak VIP dari Sabah, ulang-alik setiap minggu ke Sabah ibarat ulang-alik ke kampung sekitar Lembah Klang sahaja lagaknya.

B seorang yang cantik dan keluarganya berasal dari Jogjakarta, Kepulauan Jawa, Indonesia. Sisi peribadinya beliau seorang yang kelakar, happy go lucky, ceria, mudah tersenyum, mudah mesra, pandai membawa diri, berdikari dan semua baik-baik belaka. Allah mentakdirkan kami rapat ketika di tahun ketiga. Rezeki buat B, beliau mengandung anak sulung ketika itu. Beliau mula rapat dengan saya. Saya, pada kacamata B yang gila-gila itu disifatkan sebagai seorang yang 'baik' (Alhamdulillah..ada juga insan yang fikir begitu, saya rasa tidaklak baik mana pun diri ini). Makanya oleh kerana beliau ingin yang 'baik' itu berjangkit pada anak dalam kandungan beliau, B mula berkawan rapat dengan saya. Pada ketika beliau hendak berpindah ke rumah sewa, saya yang menemankan beliau berpindah, membantu angkut barang, membeli langsir dan sebagainya. Saya juga menjadi peneman beliau untuk 'maternity shopping', ternganga juga lah saya dengan shopping style nya yang diibaratkan duit mengalir macam air tanpa sedikit pun kebimbangan!Maklumlah ketika itu kami bergelar pelajar, ternganga saya melihat kemewahan sahabat yang satu ini. 

Tetapi beberapa episod duka menjengah hidupnya pada ketika itu. Beliau pernah terlibat dalam kemalangan ngeri di dalam kampus hingga menyebabkan jarinya putus. Ketika itu kalau tidak silap musim peperiksaan. Beberapa kata-kata beliau sebelum itu menggambarkan beliau tidak begitu gembira dengan perkahwinannya yang diibaratkan bagai 'kahwin paksa'. Ini kerana pada ketika itu beliau sedang bercinta dengan lelaki lain tetapi atas nama ketaatan beliau setuju berkahwin dengan suami pertama tersebut. Masih terngiang-ngiang lagi beliau meminta pendapat saya memilih kereta yang sesuai untuk dibawa ke kampus. Suaminya offer untuk menghantar kereta Merc ke Semenanjung untuk kegunaan beliau ulang-alik ke fakulti tetapi beliau menolak. Akhirnya beliau memilih Proton Waja. Waja itulah yang digunakan untuk mengangkut kami shopping maternity di KLCC, angkut barang pindah ke rumah baru dan sebagainya. Pernah dalam nada ceria B menyatakan bahawa beliau berhasrat menamakan anak sulungnya dengan nama 'Zuleykha'. Cantik nama tu!balas saya. Tetapi akhirnya beliau terpaksa akur dengan kehendak keluarga sebelah suami yang berkenan dengan nama 'Nur Alia Nabilah'.

Sehinggalah kami membawa haluan masing-masing di tahun akhir tetapi masih sempat berhubungan dengan beliau. Pada tahun 2003 semasa kami semua sedang chambering, saya dimaklumkan oleh beliau sendiri yang beliau sudah bercerai dengan suami pertamanya. Pada ketika itu anak sulung beliau baru berumur beberapa bulan (ya, saya ingat sungguh DOB anak sulungnya iaitu 14.1.2003). Pada bulan tahun 2004 pula, beliau berkahwin buat kali kedua dengan lelaki yang pernah meminatinya dalam diam semasa di kampus. Saya sempat ziarah B dalam pantang selepas melahirkan anak keduanya (anak pertama dengan suami kedua) di Bangi.

Melalui FBnya, saya tahu dia sangat bahagia. Mempunyai suami yang baik (kebetulan suaminya sekelas dengan kakak dan abang ipar saya semasa matrik and they both know him well'),tiga puteri yang comel dan keletah, pekerjaan yang melaluinya Allah limpahkan rezeki, harta kesenangan dan sungguh melalui gambar-gambarnya saya syukur kerana beliau telah menemui kebahagiaan selepas melalui beberapa episod duka dalam hidupnya. Pernah saya katakan 'kau insan terpilih'.

Kini kenangan bersama B menjengah lagi setelah seorang sahabat saya beria-ria bertanya saya tentang B. Malah beliau juga sedang dalam misi menjejak B. Akhirnya saya fikir saya juga turut serta bersamanya dalam misi ini..."Allah, Kau mudahkanlah misi kami menjejak sahabat kami ini. Kau limpahkan rahmat dan kesejahteraan ke atas B. Andai dia sakit, hilangkanlah kesakitannya ya Allah. Kasihanilah anak-anaknya yang masih kecil, yang dahagakan kasih sayang seorang ibu sepertinya...Amin Ya Rabbal a'lamin"