Tuesday, December 14, 2010

Nak ikut?Tak nak ikut?

Berapa ramaikah di antara kita yang menyerahkan segala keputusan dalam hidupnya kepada orang yang lebih tua?Selaku manusia dewasa tentu kita merasakan diri sendiri yang lebih berhak membuat keputusan atas diri. 'ahhhh...duit aku. Susah senang aku tanggung sendiri. Siapa yang peduli?' adalah kalimah yang sering berlegar di fikiran apabila otak sarat memikirkan sesuatu perkara yang memerlukan keputusan dibuat. Contohnya mahu belajar di mana, dalam atau luar negerikah?Kereta apa nak beli?Nak beli rumah yang bagaimana hatta soal teman hidup.

Saya bukanlah seorang anak yang terlalu taat kepada ibu bapa sehingga segala keputusan dalam hidup saya diserah bulat-bulat kepada mereka. Malah mereka juga bukanlah ibu bapa yang overly protective. Tetapi saya sentiasa percaya mereka adalah manusia yang lebih dahulu makan garam, merasai pahit manis pentas kehidupan ini berbanding dengan kita selaku anak. Maka setiap keputusan dibuat bersandarkan kepada pengalaman dan dipandu akal fikiran daripada pengamatan hidup mereka. Tidak salah jika dikatakan keputusan mereka adalah waras dan baik (jika tidak terbaik).

Ada beberapa perkara dalam hidup saya dibuat atas keputusan ibu bapa.

Insiden yang pertama, saya masih ingat lagi semasa saya dan ayah menjemput kakak pulang dari asrama kakak memberitahu ayah akan keputusan ujian Bahasa Perancisnya yang agak teruk. Ayah lalu bertanya 'tidak ada bahasa pilihan lain kah?' dan kakak menjawab 'ada, Bahasa Arab'. Ayah dalam nada yang sedikit marah mempersoalkan mengapa kakak tidak memilih Bahasa Arab dan berceramah menyatakan Bahasa Arab itu bahasa syurga, bahasa Al-Quran dan dapat pahala jika mempelajarinya. Saya yang ketika itu berada di tempat duduk belakang hanya mendiamkan diri. Dalam hati saya bertekad andaikata saya mendapat tempat di sekolah kakak, saya ingin memilih Bahasa Arab sebagai subjek bahasa pilihan.

Alhamdulillah saya ditawarkan belajar di sekolah yang sama dengan kakak. Tanpa berfikir panjang dan dengan peristiwa kakak dimarahi ayah kerana tidak mengambil Bahasa Arab masih segar dalam kotak ingatan, saya nekad mempelajari Bahasa Arab. Hasilnya Alhamdulillah saya memperolehi keputusan A bagi Bahasa Arab semasa PMR.

Kemudian pada ketika saya berhasrat untuk membeli kereta sendiri, ayah menyarankan kereta yang saya pakai ketika ini. Walau perancangan asalnya saya hanya ingin melihat-lihat dulu, ayah menyarankan saya beli sahaja kereta tersebut. Lama saya membuat keputusan menimbangkan kemampuan saya ketika itu. Ayah menenangkan saya 'pada mula memang kita terasa kekurangan duit tapi lama kelamaan kita akan biasa. Pandai-pandai lah rancang kewangan'. Maka dengan hati yang 50-50, saya membeli kereta tersebut. Acapkali saya menyebut ini kereta pilihan ayah saya.

Alhamdulillah setelah hampir 6 tahun memakainya, 'my baby wheeler' seperti yang saya gelarkan tidak membawa banyak masalah kepada saya dan masih lagi berjasa kepada saya sekeluarga sehingga ke saat ini. Tak sia-sia saya mengikut nasihat ayah.

Itu cerita yang baik.

Sekarang saya ingin bercerita akibat tidak mendengar nasihat orang tua.

Saya merupakan pelajar sekolah menengah lulusan sains tulen. Keputusan saya juga agak baik dengan mendapat cemerlang dalam subjek Kimia dan Biologi. Tetapi dalam borang UPU, pilihan pertama dan kedua saya ialah jurusan undang-undang dan pilihan 3-5 barulah saya memilih jurusan sains. Entah mengapa kecenderungan terhadap jurusan undang-undang datang secara tiba-tiba. Saya telah ditawarkan untuk mengikut pengajian matrikulasi undang-undang lebih awal sebelum keputusan UPU keluar. Akibatnya sebelum tarikh mendaftar yang sepatutnya, saya mendapat dua tawaran yang berbeza. Saya dipaksa membuat keputusan yang menentukan hala tuju masa depan saya.

Saya menjadi keliru. Mak berkeras mahukan saya mengambil jurusan sains. Mak sangat-sangat berharap agar salah seorang anaknya menjadi doktor. Tapi saya tidak yakin, saya mabuk darah. Sedangkan kakak yang keputusan matriksnya elok pun gagal mendapat tempat di fakulti perubatan apatah lagi saya yang agak kurang rajin. Akhirnya saya mengambil jurusan undang-undang. Saya tahu saya telah mengecewakan Mak, ada riak sedih di wajah Mak semasa menghantar saya mendaftar matrikulasi undang-undang. Saat itu saya rasa benar-benar tiada sokongan.

Sepanjang setahun pengajian matrikulasi, saya kerap ditimpa demam. Boleh dikatakan setiap bulan saya pasti demam yang disertai batuk dan selesema. Maka setiap bulan saya terpaksa 'tuang' kelas akibat terlalu mengantuk selepas mengambil ubat batuk. Akibatnya, pelajaran saya merosot.

Saya mula muhasabah diri. Kepada Mak saya mohon maaf andaikata keputusan saya mengambil jurusan ini melukakan hatinya. Jawab Mak 'takpe, Mak redha. Mak doakan yang terbaik'. Buat pertama kali itulah saat saya rasakan riak keikhlasan dalam keredhaan Mak dan hati saya tenang.

Sekarang saya telah 11 tahun bergelumang dalam dunia undang-undang termasuk zaman pengajian. Jatuh bangun pahit manis terpaksa ditelan kerana itulah takdir yang ditentukan ke atas saya. Sejujurnya saya mengakui bahawa apabila diri diduga hebat sepanjang 11 tahun ini, saya tidak dapat lari daripada memikirkan 'apakah ini balasan akibat tidak mendengar nasihat ibu bapa?'. Ya, saya manusia biasa yang tidak dapat lari daripada lintasan-lintasan hati yang datangnya dari syaitan, yang cuba memesongkan hambaNya daripada menerima takdir Allah.

Tetapi apa yang penting di sini ialah saya cuba memberi mesej bahawa taatilah ibu bapa dan turutilah kata-kata mereka selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak. Saya percaya walau pada mulanya sukar dan kita terpaksa berperang dengan kehendak hati, InsyaAllah satu hari hikmahnya akan dapat kita kutip. Niatkan bahawa dengan mengikuti nasihat mereka, sedikit sebanyak akan menggembirakan hati kedua-duanya. InsyaAllah Allah akan menerangi jalan hidup kita. Hanya masa yang menentukan...

Monday, December 6, 2010

Surat cucunda untuk nenda

Assalamualaikum Tok Ma?Tok Ma buat apa tu?Tok Ma dah makan sesudu minyak zaitun yang Tok Ma beli buat ubat lelah di MAHA tempoh hari?Tok Ma jangan lupa makan tau macam yang Mummy cakap. Umar dengar Mummy cakap kat Tok Ma, Mummy dapat info dari mana entah dikatakan makan satu sudu besar minyak zaitun setiap hari bagus untuk kesihatan. Mummy memang suka ilmu-ilmu kesihatan ni. Wan pun suka. Nanti kalau ada tips lagi Umar beritahu Tok Ma ok?

Tentu Tok Ma tertanya-tanya kenapa tiba-tiba Tok Ma dapat surat dari Umar kan?Macam ni, dua tiga menjak ni Umar selalu dengar Tok Ma cakap kat Mummy dan Papa yang Tok Ma nak bawa Umar balik duduk di Kelantan bila Umar dah reach 2 tahun. Hummm ada juga Umar dengar Mummy dan Papa tak setuju tapi diorang tak cakap depan Tok Ma yang diorang tak setuju. Mummy dan Papa discuss sesama sendiri je.

Tok Ma yang Umar kasihi,

Bukan Umar tak nak ikut Tok Ma tapi untuk pengetahuan Tok Ma setiap hari bermula 6.30 petang, Umar nak buka channel 106, dengar zikir dalam slot Indahnya Iman. Tapi Umar tengok Tok Ma nak tengok sinetron di channel 104 pada masa yang sama. Nanti Tok Ma terlepas pulak sinetron kegemaran bila Umar tinggal dengan Tok Ma nanti.

Yang kedua, kalau masak Mummy tak suka bubuh MSG..alaaa apa tu?ajinomoto!haaa dah ingat dah. Makanan yang Mummy atau Wan masak semua MSG free. Kan Umar cakap Mummy dan Wan suka ilmu kesihatan?Tapi hari tu Umar dengar Tok Ma cakap kat Mummy kalau tak bubuh MSG tak sedap. Tapi Umar cakap makanan ada MSG lagi tak sedap!Umar tak suka la Tok Ma. Jadi kalau Umar tinggal dengan Tok Ma terpaksalah Tok Ma masak makanan yang lain untuk Umar, yang takde MSG. Kesian Tok Ma...sebab Umar tak makan makanan ada MSG.

Oh ya!Lupa nak beritahu Tok Ma. Umar tak suka mandi air sejuk. Umar suka mandi air suam, macam masa Umar baby dulu. Mummy pun pernah dengar doktor kat TV cakap sebenarnya orang-orang sebaya Umar selalu demam sebab perubahan cuaca. Kadang-kadang mandikan anak dengan air sejuk waktu tengahari terik pun boleh sebab demam. Sebab itu Umar suka mandi air suam. Tok Ma perasan tak Umar jarang demam?Sebab tu la kut. Tapi hari tu Umar dengar Tok Ma cakap kat Mummy mandikan anak dengan air sejuk tu bagus. Boleh kuatkan tulang anak. Mummy cakap kat Umar dia tak percaya sebab kalau nak tulang kuat Umar kena minum banyak susu sebab susu banyak kalsium yang kuatkan tulang. Umar suka minum susu Mummy sebab banyak kalsium. Itu sebab tulang Umar keras kut walaupun rangka tubuh Umar kecil. Hummmm..nanti kalau Umar tinggal dengan Tok Ma, kesian Tok Ma kena jerang air panas untuk sediakan air mandian Umar.

Tok Ma yang Umar sayangi,

Umar memang suka tidur dalam buai, nyamannnnn je bila dihenjut buai tu. Cepat je Umar lena. Lama pulak tu. Tapii......Umar suka dibuai perlahan-lahan. Umar terkejut kalau orang buai kuat-kuat sebab Umar tak biasa. Mcam hari tu Tok Ma henjut buai Umar, terlambung-lambung Umar dibuatnya dan memang cecah lantai la. Tergamam Umar dibuatnya. Cepat-cepat Wan datang dan tegur Tok Ma. Wan cakap kalau buai kuat-kuat Umar tak nak tidur. Lepas Tok Ma buai perlahan-lahan baru Umar boleh tidur. Rumah Tok Ma takde buai kan?Kesian Tok Ma kena sediakan buai untuk Umar kalau Umar tinggal dengan Tok Ma.

Sebab lain pulak kalau malam-malam nak tidur Umar suka mengendeng dengan Mummy..nyonyot kat Mummy. Kalau tak Umar tak lena tidur. Kalau Umar jauh nanti Umar nak nyonyot dengan siapa?

Hari tu pernah Mummy cakap kat Umar Mummy nak hantar Umar pergi school. Mummy cakap Umar dah besar. Mummy selalu cakap Umar anak yang sociable, dan kalau hantar Umar pergi school mesti Umar lagi seronok sebab ramai kawan, banyak mainan. Jadi Umar nak pergi school. Mummy pun ada la survey few school kat area Bangi sebab InsyaAllah jika dipermudahkan segala urusan kami sekeluarga nak pindah duduk di rumah sendiri di Bangi. Tapi kat rumah Tok Ma takde school kan?Ke ada?

Kesimpulannya biarlah Umar tinggal dengan Mummy dan Papa. Nanti malam-malam Mummy menangis teringat pada Umar. Hehe!Lagipun Umar tak naklah menyusahkan Tok Ma. Umar nih cerewet sikit.

Ok lah Tok Ma, Umar nak pergi main khemah dulu ye?Nanti kirim salam pada Tok Bah dan semua pak cik dan makcik Umar ye?

Wassalam.

Yang benar,
Umar

Friday, December 3, 2010

No Plastic Day

Saya menyokong penuh langkah sesetengah kerajaan negeri yang menjadikan hari tertentu sebagai "No Plastic Day'. Walaupun kadangkala saya terlupa dan tidak membawa sebarang beg untuk mengisi hasil tuaian beli-belah, tapi saya tidak merungut. Walaupun terpaksa mengangkut barang dari troli banyak kali, tetapi saya gembira.

Tetapi pagi ini saya tersentak dengan kenyataan di Berita Harian seperti di bawah :

Kempen hari tanpa plastik jejas pengusaha

2010/12/03

PUTRAJAYA: Tindakan kerajaan Pulau Pinang menguat kuasa hari tanpa plastik yang mengharamkan penggunaan beg plastik di pasar raya dan pasar raya besar menyebabkan pengusaha kerugian hampir 50 peratus dan mungkin gulung tikar.

Sehubungan itu, Presiden Persatuan Pembuatan Barangan Plastik Malaysia (MPMA), Lim Kok Boon, menggesa kerajaan negeri mempertimbangkan semula dasar itu dan mencari rumusan lebih praktikal yang menguntungkan semua pihak.
MPMA sudah berdialog dengan kerajaan negeri baru-baru ini dengan masing-masing mengemukakan pandangan, termasuk kajian saintifik mengenai kebaikan serta keburukan bahan plastik.

Kita harap Ketua Menteri (Lim Guan Eng) mengambil kira periuk nasi lebih 1,500 pekerja di 38 syarikat menganggotai persatuan, malah saya yakin punca pendapatan lebih ramai pekerja akan terjejas kerana ada pengusaha atau pengeluar barangan plastik yang tidak bernaung di bawah MPMA.

Kami menyokong penuh usaha kurangkan, guna semula dan kitar semula beg plastik tetapi berharap hari tanpa plastik dihadkan kepada tiga hari supaya tidak menjejaskan perniagaan, katanya ketika dihubungi, semalam.

Julai tahun lalu, kerajaan Pulau Pinang mengisytiharkan Isnin sebagai hari tanpa plastik yang menjadi sebahagian daripada kempen mengurangkan pelepasan karbon yang menjejaskan lapisan ozon.

Saya tidak pasti apakah yang tersirat di sebalik kenyataan tersebut. Almaklum la kebelakangan ini banyak sungguh isu politik yang timbul atau sengaja ditimbulkan. Saya bukanlah seorang yang suka berpolitik, saya ialah seorang yang non-partisan, mengundi berdasarkan calon yang layak bukan atas dasar kepartian dan saya sungguh muak dengan isu politik yang dipolemikkan di media massa saban hari.

Tetapi hati kecil saya berbisik bahawa kenyataan di atas adalah berunsur politik semata-mata. Wallahua'lam.

Kerana sebagai manusia yang bertanggungjawab seharusnya dia mesti sayangkan bumi ini untuk masa depan generasi akan datang. Dia seharusnya menyokong apa sahaja usaha untuk melestarikan alam ini untuk kehidupan anak cucu cicitnya juga.

I AM AGAINST THIS STATEMENT!