Friday, December 3, 2010

No Plastic Day

Saya menyokong penuh langkah sesetengah kerajaan negeri yang menjadikan hari tertentu sebagai "No Plastic Day'. Walaupun kadangkala saya terlupa dan tidak membawa sebarang beg untuk mengisi hasil tuaian beli-belah, tapi saya tidak merungut. Walaupun terpaksa mengangkut barang dari troli banyak kali, tetapi saya gembira.

Tetapi pagi ini saya tersentak dengan kenyataan di Berita Harian seperti di bawah :

Kempen hari tanpa plastik jejas pengusaha

2010/12/03

PUTRAJAYA: Tindakan kerajaan Pulau Pinang menguat kuasa hari tanpa plastik yang mengharamkan penggunaan beg plastik di pasar raya dan pasar raya besar menyebabkan pengusaha kerugian hampir 50 peratus dan mungkin gulung tikar.

Sehubungan itu, Presiden Persatuan Pembuatan Barangan Plastik Malaysia (MPMA), Lim Kok Boon, menggesa kerajaan negeri mempertimbangkan semula dasar itu dan mencari rumusan lebih praktikal yang menguntungkan semua pihak.
MPMA sudah berdialog dengan kerajaan negeri baru-baru ini dengan masing-masing mengemukakan pandangan, termasuk kajian saintifik mengenai kebaikan serta keburukan bahan plastik.

Kita harap Ketua Menteri (Lim Guan Eng) mengambil kira periuk nasi lebih 1,500 pekerja di 38 syarikat menganggotai persatuan, malah saya yakin punca pendapatan lebih ramai pekerja akan terjejas kerana ada pengusaha atau pengeluar barangan plastik yang tidak bernaung di bawah MPMA.

Kami menyokong penuh usaha kurangkan, guna semula dan kitar semula beg plastik tetapi berharap hari tanpa plastik dihadkan kepada tiga hari supaya tidak menjejaskan perniagaan, katanya ketika dihubungi, semalam.

Julai tahun lalu, kerajaan Pulau Pinang mengisytiharkan Isnin sebagai hari tanpa plastik yang menjadi sebahagian daripada kempen mengurangkan pelepasan karbon yang menjejaskan lapisan ozon.

Saya tidak pasti apakah yang tersirat di sebalik kenyataan tersebut. Almaklum la kebelakangan ini banyak sungguh isu politik yang timbul atau sengaja ditimbulkan. Saya bukanlah seorang yang suka berpolitik, saya ialah seorang yang non-partisan, mengundi berdasarkan calon yang layak bukan atas dasar kepartian dan saya sungguh muak dengan isu politik yang dipolemikkan di media massa saban hari.

Tetapi hati kecil saya berbisik bahawa kenyataan di atas adalah berunsur politik semata-mata. Wallahua'lam.

Kerana sebagai manusia yang bertanggungjawab seharusnya dia mesti sayangkan bumi ini untuk masa depan generasi akan datang. Dia seharusnya menyokong apa sahaja usaha untuk melestarikan alam ini untuk kehidupan anak cucu cicitnya juga.

I AM AGAINST THIS STATEMENT!

No comments:

Post a Comment