Malam tadi sukar sekali saya melelapkan mata. Antara kerinduan yang amat dan tuntutan amanah dan tanggungjawab, saya bungkam. Saya terbayang segala saat-saat manis selama dua tahun ini.
Sejak kelahiran Umar, Mak dan Ayahlah yang membantu kami menjaganya baik semasa dalam pantang mahupun setelah saya kembali bekerja. Terbayang pengorbanan mereka berdua yang sanggup meninggalkan rumah sendiri dan tinggal bersama kami dan cuma balik hujung minggu sahaja menjenguk rumah.
Kehadiran Mak dan Ayah benar2 membantu meringankan beban kami. Mak yang memang kaki pengemas tak boleh duduk diam, ada sahaja kerja yang dilakukan dari memasak, mengemas, membasuh memandikan Umar dan segala-galanya. Ayah pula dengan rutin melayan Umar, bawa Umar pergi berjalan, menidurkan, memberikan susu sehingga Umar sangat rapat dengan Atuknya. Tugas mereka hanya terhenti apabila kami pulang dari kerja, itupun adakala saya minta mereka tengokkan Umar sementara saya buat kerja rumah.
Laju air mata saya mengalir di bantal apabila terkenang rumah kami hidup dengan qiyamullail dan bacaan AlQuran mereka berdua tiap-tiap malam. Surau AlFurqan yang memang sedia hidup dengan aktiviti keagamaan bertambah rancak dengan kehadiran Mak dan Ayah yang meramaikan jemaah terutamanya setiap Maghrib, Isyak dan Subuh. Di saat saya dan suami masih lena, Mak Ayah dah bersiap-siap menuju ke surau setiap Subuh. Teringat rancangan Tanyalah Ustaz yang Mak Ayah akan ikuti setiap pagi dan Mak sambil menumbuk rencah nasi goreng di muka pintu dapur sambil mata menghadap TV, tak mahu ketinggalan walau secebis ilmu daripada rancangan tersebut.
Tengok halaman rumah, terkenang Ayah yang rajin menyabit rumput yang kian panjang. Pokok pandan dan pokok puding yang selalu digunakan dalam masakan rendang Negeri Sembilan, Ayah tanam di tanah sekangkang kera. Begitu juga pokok betik yang benihnya Ayah bawa dari Pahang. Teringat-teringat Ayah rajin melayan Umar breakfast, diletaknya Umar di pangkuannya sambil menyuap cucu yang satu hampir setiap pagi. Sampai si Umar pernah satu ketika enggan dilayan oleh Papanya sendiri. Ayah juga rajin bawa Umar jalan-jalan naik kereta, pergi ke playground berhampiran. Kadang-kadang Ayah mengeluh letih jaga Umar sebab dia lasak dan tak pandai duduk diam tapi esok dan hari2 seterusnya rutin sama juga dilakukan dengan penuh kasih sayang.
Bila waktu tidur, Ayah penuh cermat sambil mulut mengalunkan zikrullah akan menghenjut buaian Umar sampai cucunya lena. Kadang-kadang Ayah turut terlelap sama. Malam2 bila tiada rancangan menarik, Ayah akan naik ke bilik dan baca buku kegemaran. Umar pula rajin mengikut Atuknya dengan tujuan bermain dengan remote control kipas bilik Ayah. Terbayang jerit pekik Ayah memarahi cucunya bila kipas dipadamkan oleh tangan mungil Umar. Kadang-kadang Umar turut terlelap dalam dakapan Atuknya dan saya akan pangku Umar masuk ke bilik saya.
Kalau sebelum ini, setiap petang Ahad saya akan telefon tanya Mak sama ada Mak Ayah makan di rumah atau rumah Kak Long. Setiap Ahad malam Isnin, selagi Mak Ayah belum tiba saya akan bercakap-cakap dengan Umar " Atuk..mana atuk Umar?Bila Atuk nak sampai" dan Umar akan meluru ke pintu bila dengar sahaja bunyi kereta Atuknya memasuki halaman rumah.
Pagi tadi bila saya terjaga jam 5.30 pagi, tiada lagi bunyi air mengalir dari bilik air bilik Mak dan Ayah. Bila saya turun bawah, bilik bawah gelap gelita sedangkan sebelum ini bilik itu terang benderang dihiasi alunan bacaan AlQuran oleh Mak. Ruang tamu juga sepi, tiada lagi bentangan sejadah Ayah mendirikan solat malam. Jika sebelum ini saya meninggalkan rumah dalam keadaan bersepah, balik kerja segalanya kemas dan lapang tetapi pagi tadi saya meninggalkan rumah dalam keadaan bersepah, dan saya tahu balik kerja nanti ia tetap berkeadaan begitu.
Kini rumah kami sunyi sepi. Tiada lagi jerit pekik suara Ayah memarahi Umar yang lasak. Tiada lagi suara Mak mengalunkan ayat-ayat suci dalam bilik kecil di tingkat bawah. Tiada lagi Adik yang sering menjadi 'sparring partner' Umar. Saya rindu Mak dan Ayah!Suami memujuk 'Minggu ni kita balik kampung ye?'
Betullah orang kata, kita akan menghargai seseorang bila orang itu tiada depan mata.