Tuesday, December 14, 2010

Nak ikut?Tak nak ikut?

Berapa ramaikah di antara kita yang menyerahkan segala keputusan dalam hidupnya kepada orang yang lebih tua?Selaku manusia dewasa tentu kita merasakan diri sendiri yang lebih berhak membuat keputusan atas diri. 'ahhhh...duit aku. Susah senang aku tanggung sendiri. Siapa yang peduli?' adalah kalimah yang sering berlegar di fikiran apabila otak sarat memikirkan sesuatu perkara yang memerlukan keputusan dibuat. Contohnya mahu belajar di mana, dalam atau luar negerikah?Kereta apa nak beli?Nak beli rumah yang bagaimana hatta soal teman hidup.

Saya bukanlah seorang anak yang terlalu taat kepada ibu bapa sehingga segala keputusan dalam hidup saya diserah bulat-bulat kepada mereka. Malah mereka juga bukanlah ibu bapa yang overly protective. Tetapi saya sentiasa percaya mereka adalah manusia yang lebih dahulu makan garam, merasai pahit manis pentas kehidupan ini berbanding dengan kita selaku anak. Maka setiap keputusan dibuat bersandarkan kepada pengalaman dan dipandu akal fikiran daripada pengamatan hidup mereka. Tidak salah jika dikatakan keputusan mereka adalah waras dan baik (jika tidak terbaik).

Ada beberapa perkara dalam hidup saya dibuat atas keputusan ibu bapa.

Insiden yang pertama, saya masih ingat lagi semasa saya dan ayah menjemput kakak pulang dari asrama kakak memberitahu ayah akan keputusan ujian Bahasa Perancisnya yang agak teruk. Ayah lalu bertanya 'tidak ada bahasa pilihan lain kah?' dan kakak menjawab 'ada, Bahasa Arab'. Ayah dalam nada yang sedikit marah mempersoalkan mengapa kakak tidak memilih Bahasa Arab dan berceramah menyatakan Bahasa Arab itu bahasa syurga, bahasa Al-Quran dan dapat pahala jika mempelajarinya. Saya yang ketika itu berada di tempat duduk belakang hanya mendiamkan diri. Dalam hati saya bertekad andaikata saya mendapat tempat di sekolah kakak, saya ingin memilih Bahasa Arab sebagai subjek bahasa pilihan.

Alhamdulillah saya ditawarkan belajar di sekolah yang sama dengan kakak. Tanpa berfikir panjang dan dengan peristiwa kakak dimarahi ayah kerana tidak mengambil Bahasa Arab masih segar dalam kotak ingatan, saya nekad mempelajari Bahasa Arab. Hasilnya Alhamdulillah saya memperolehi keputusan A bagi Bahasa Arab semasa PMR.

Kemudian pada ketika saya berhasrat untuk membeli kereta sendiri, ayah menyarankan kereta yang saya pakai ketika ini. Walau perancangan asalnya saya hanya ingin melihat-lihat dulu, ayah menyarankan saya beli sahaja kereta tersebut. Lama saya membuat keputusan menimbangkan kemampuan saya ketika itu. Ayah menenangkan saya 'pada mula memang kita terasa kekurangan duit tapi lama kelamaan kita akan biasa. Pandai-pandai lah rancang kewangan'. Maka dengan hati yang 50-50, saya membeli kereta tersebut. Acapkali saya menyebut ini kereta pilihan ayah saya.

Alhamdulillah setelah hampir 6 tahun memakainya, 'my baby wheeler' seperti yang saya gelarkan tidak membawa banyak masalah kepada saya dan masih lagi berjasa kepada saya sekeluarga sehingga ke saat ini. Tak sia-sia saya mengikut nasihat ayah.

Itu cerita yang baik.

Sekarang saya ingin bercerita akibat tidak mendengar nasihat orang tua.

Saya merupakan pelajar sekolah menengah lulusan sains tulen. Keputusan saya juga agak baik dengan mendapat cemerlang dalam subjek Kimia dan Biologi. Tetapi dalam borang UPU, pilihan pertama dan kedua saya ialah jurusan undang-undang dan pilihan 3-5 barulah saya memilih jurusan sains. Entah mengapa kecenderungan terhadap jurusan undang-undang datang secara tiba-tiba. Saya telah ditawarkan untuk mengikut pengajian matrikulasi undang-undang lebih awal sebelum keputusan UPU keluar. Akibatnya sebelum tarikh mendaftar yang sepatutnya, saya mendapat dua tawaran yang berbeza. Saya dipaksa membuat keputusan yang menentukan hala tuju masa depan saya.

Saya menjadi keliru. Mak berkeras mahukan saya mengambil jurusan sains. Mak sangat-sangat berharap agar salah seorang anaknya menjadi doktor. Tapi saya tidak yakin, saya mabuk darah. Sedangkan kakak yang keputusan matriksnya elok pun gagal mendapat tempat di fakulti perubatan apatah lagi saya yang agak kurang rajin. Akhirnya saya mengambil jurusan undang-undang. Saya tahu saya telah mengecewakan Mak, ada riak sedih di wajah Mak semasa menghantar saya mendaftar matrikulasi undang-undang. Saat itu saya rasa benar-benar tiada sokongan.

Sepanjang setahun pengajian matrikulasi, saya kerap ditimpa demam. Boleh dikatakan setiap bulan saya pasti demam yang disertai batuk dan selesema. Maka setiap bulan saya terpaksa 'tuang' kelas akibat terlalu mengantuk selepas mengambil ubat batuk. Akibatnya, pelajaran saya merosot.

Saya mula muhasabah diri. Kepada Mak saya mohon maaf andaikata keputusan saya mengambil jurusan ini melukakan hatinya. Jawab Mak 'takpe, Mak redha. Mak doakan yang terbaik'. Buat pertama kali itulah saat saya rasakan riak keikhlasan dalam keredhaan Mak dan hati saya tenang.

Sekarang saya telah 11 tahun bergelumang dalam dunia undang-undang termasuk zaman pengajian. Jatuh bangun pahit manis terpaksa ditelan kerana itulah takdir yang ditentukan ke atas saya. Sejujurnya saya mengakui bahawa apabila diri diduga hebat sepanjang 11 tahun ini, saya tidak dapat lari daripada memikirkan 'apakah ini balasan akibat tidak mendengar nasihat ibu bapa?'. Ya, saya manusia biasa yang tidak dapat lari daripada lintasan-lintasan hati yang datangnya dari syaitan, yang cuba memesongkan hambaNya daripada menerima takdir Allah.

Tetapi apa yang penting di sini ialah saya cuba memberi mesej bahawa taatilah ibu bapa dan turutilah kata-kata mereka selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak. Saya percaya walau pada mulanya sukar dan kita terpaksa berperang dengan kehendak hati, InsyaAllah satu hari hikmahnya akan dapat kita kutip. Niatkan bahawa dengan mengikuti nasihat mereka, sedikit sebanyak akan menggembirakan hati kedua-duanya. InsyaAllah Allah akan menerangi jalan hidup kita. Hanya masa yang menentukan...

No comments:

Post a Comment