Friday, July 1, 2011

Isra' Mikraj

Semalam, sebaik selesai mengimami solat Maghrib berjemaah, suami meluahkan pemikirannya kepada saya tentang Isra' Mikraj, khususnya bagaimana memahami peristiwa tersebut dengan cara yang mudah.

Berkaitan Isra' Mikraj, umat Islam terbahagi kepada tiga golongan. Golongan pertama, mereka yang benar-benar mempercayainya tanpa sekelumit pun perasaan ragu-ragu, untunglah mereka kerana mereka inilah golongan yang mempunyai iman sebenar. Golongan kedua, golongan yang mempercayai, kerana para muallim berulang kali menceritakan peristiwa ini dan mempercayai kerana takut tergelincir dari Rukun Iman yang keenam : mempercayai qada' dan qadar. Mereka ini iman mereka masih belum benar-benar kukuh dan hanya dapat ditingkatkan dengan amalan-amalan berterusan yang dilakukan dengan ikhlas LillahiTaala.

Manakala golongan ketiga pula ialah golongan yang tidak mempercayainya dan menuduh ianya adalah cerita dongeng 'mana mungkin Nabi ke langit dalam masa sebegitu singkat?'. Inilah sehina-hina umat. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan sedemikian, Nauzubillah!

Bagaimana untuk 'tackle' golongan ketiga ini supaya kembali kepada kepercayaan qada' dan qadar?

Begini : cuba kita fikir. Jarak antara London dan Kuala Lumpur ialah 10,552 km melalui perjalanan udara. Tetapi Allah SWT telah mengilhamkan manusia ilmu untuk mereka kapal terbang, supaya hambaNya di KL boleh sampai di London dalam masa satu hari sahaja. Maka adakah kita mengatakan itu mustahil?Tidak, jika menaiki kapal terbang. Begitulah ibrahnya dengan Isra' Mikraj, Allah mencipta sejenis kenderaan yang dinamakan 'Buraq' (ada pelbagai pendapat tentang fizikal buraq, ada yang berpendapat ianya adalah sejenis haiwan, wallahua'lam) yang membolehkan Nabi SAW sampai ke langit ketujuh dan turun semula ke bumi dalam masa satu malam.

Saya terpegun mendengar tazkirah suami. Sebab saya sendiri pun tidak terfikir sebegitu. Saya kira saya termasuk dalam golongan kedua di atas. Rupa-rupanya setiap perkara realistik di sekeliling kita adalah petunjuk dari Allah akan perkara ghaib!Wallahua'alam

Terima kasih Abang kerana membuka dimensi pemikiran saya terhadap peristiwa Isra' Mikraj. Setinggi-tinggi syukur kepadaMu Ya Allah kerana menjodohkanku dengan suamiku!

No comments:

Post a Comment