Tuesday, September 20, 2011

Kematian

Pagi ini, seisi pejabat dikejutkan dengan pemergian bapa kepada salah seorang office mate. Baca keratan akhbar di bawah :

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BekasEXCOTerengganumautnahas/Article

Hati tiba2 sayu. Tiba2 terkenang arwah Wan. Apabila menghadapi kematian ahli keluarga terdekat, banyak perkara yang saya belajar antaranya :

1) Apabila kematian Wan, saya, Mak dan makcik-makcik saya bergilir2 menghabiskan bacaan seluruh kitab Al Quran sebagai hadiah kepada Wan. Kami berjaya khatam seluruh isi Al Quran dalam masa lebih kurang 3 jam. Kami hanya berkurung dalam bilik, menghabiskan bacaan dalam sedu-sedan. Kami hanya keluar berjumpa tetamu setelah tamat bacaan. Saya tak pasti siapa yang memberitahu bahawa itulah yang afdhal dilakukan apabila ada kematian ahli keluarga.

2) Selepas solat maghrib setelah Wan dikebumikan, kami beramai-ramai mengerjakan solat sunat hadiah. Dikatakan solat ini bagus sebagai keringanan untuk arwah menghadapi alam barzakh. Saya diceritakan bahawa pada malam pertama kematian, arwah masih 'terpinga2' antara alam dunia dengan alam barzakh. Solat sunat hadiah adalah untuk memudahkan 'perjalanan' arwah ke alam barzakh. Wallahu a'lam.

3) Selepas kematian arwah Wan, saya cenderung membaca buku-buku mengenai alam roh. Setiap saat saya tertanya 'Wan buat apa agaknya masa nih'?. Entahlah. Saya rasa separuh diri saya pergi. Saya terlalu sayang pada Wan. Sebab Wan adalah manusia paling suci, paling baik, semua yang baik2 ada pada Wan. Saya tidur sekatil dengan Wan masa Darjah Enam. Teringat2 bedtime story Wan. Saya rindu Wan. Agaknya Wan ada datang jenguk saya tak?

4) Hingga sekarang apabila saya membaca doa tahlil secara bersendirian, orang pertama yang saya sebut ialah arwah Wan.

Ohh..saya teringat rantai tangan yang Wan hadiahkan pada saya. Hajat saya untuk pergi ke pejabat zakat kalau2 dh sampai qaul dan hisab untuk kuarkan zakat emas. Dah lama saya tak pakai rantai tu yang pernah putus. Saya doa supaya ia dikenakan zakat. Mudah2an pahala zakat itu dapat disedekah pada arwah.

Wan..saya rindu Wan..Saya doa supaya saya dapat menjadi manusia sebaik Wan...Bila agaknya hati ni nak bersih macam hati Wan?

AlFatihah.

Tuesday, August 23, 2011

Stok ayam

Setiap kali membeli ayam, saya akan asingkan tulang dan isinya. Biasanya saya akan kumpulkan tulang ayam sehingga penuh bekas barulah saya akan buat stok ayam. Stok ayam ni banyak kegunaannya. Antaranya sebagai penyedap rasa untuk sup dan sebagainya. Saya tidak pernah menggunakan MSG/Ajinomoto atau apa sahaja kiub pati dalam masakan. Pada saya, yang natural itu lebih sedap dan menyihatkan.

Berikut ialah resepi stok ayam saya :

1 bekas tulang ayam (saya guna bekas jernih empat segi yang microvable)
1/2 biji lobak merah
1 1/2 labu bawang besar
2 batang seleri
Air secukupnya

Cara :

Lobak merah dikerat 1 1/2 inci dan kemudian dipotong 4 secara memanjang. Bawang besar dipotong kepada 6 bahagian (potong besar2..bukan hiris halus2). Seleri juga dikerat-kerat sepanjang 1 1/2 inci.

Masukkan semua bahan dalam periuk sederhana besar. Tuang air hingga 3/4 periuk. Renihkan di atas api sederhana sehingga menggelegak. Kemudian kecilkan api kepada paling perlahan dan renih lagi sehingga 2-3 jam sehingga air berkurangan kepada setengah bahagian. Tapiskan stok. Biar sejuk kemudian barulah masukkan dalam bekas dan disimpan di bahagian sejuk beku.

(Tips : stok ini direnih lama untuk membolehkan pati2 keluar dari tulang ayam dengan sempurna. Satu cara untuk memastikan stok ayam sempurna apabila tulang ayam yang direbus menjadi lembut/separuh hancur)

Monday, August 22, 2011

Check list Ramadhan

1) Adakah terawih penuh tahun ini?

2) Adakah berlaku pembaziran makanan tahun ini? Jika ada, berapa hari pembaziran berlaku dan berapa banyak?

3) Berapa banyak sedekah/amal jariah pada tahun ini?

4) Adakah lidah, hati dan mata sempurna dijaga?

5) Sudahkah aurat ditutup sempurna?

6) Berapa kali kemarahan meletus di bulan ini pada tahun ini?

7) Berjaya khatam quran?

8) Berapa kali qiyamullail bulan ini?

9) Berapa kerap hadir/tonton majlis ilmu?

Ohhhhhhh...kalau diberi markah...macam fail je!Atau cukup2 makan!

Ya Allah, tetapkanlah hatiku. Tingkatkan imanku..Amin


Tuesday, August 2, 2011

Maksiat di bulan Ramadhan Al Karim

Saya : Mengapa orang Islam masih berbuat jahat di bulan Ramadhan sedangkan syaitan diikat?

Suami : Sebab syaitan dh train orang tuh selama 11 bulan!

Haha!

Wednesday, July 27, 2011

Kebesaran Allah

Mungkin entry kali ini ada persamaan dengan entry "my Breastfeeding Journey" sebelum ini. Tetapi entry kali ini ada sedikit perbezaan, bezanya ialah cara ia dilihat dari perspektif berbeza.

Saya melihat kepada penyusuan susu ibu dari segi kebesaran Allah. Menyusukan anak memberikan saya peluang untuk melihat kebesaran Allah yang Maha Luas. Mengajar saya erti tanggungjawab dan disiplin diri. Saya semakin menyedari ianya adalah anugerah Allah semata-mata, Dia berhak memberi kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan sebaliknya.

Hari ini, saya mampu menyusukan Umar sehingga kini (26 bulan). Akan datang saya tak pasti andai adik Umar sebertuah abangnya. Sepanjang pengalaman saya, saya melihat ada rakan yang beremosi, sedikit mencemuh ibu lain yang tidak menyusukan anak sehingga mengguris hati ibu tersebut. Ada ibu yang seboleh mungkin tidak mahu menyusukan anak, 'kalau boleh mahu susu kering cepat2' menyebabkan saya hanya mampu mengurut dada mendengar kenyataan sedemikian!Ada ibu yang sangat suka meng'update' stok susu perahan pada setiap masa di blog peribadi, tidak pasti sama ada niat untuk memotivasikan diri sendiri atau orang lain atau ingin berlumba2 dengan ibu lain tanpa menyedari ada ibu yang rasa rendah diri kerana kurangnya susu mereka.

Saya sendiri bukan breast-fed kid. Mak hanya mampu menyusu badan saya selama 42 hari iaitu selama dalam pantang kerana Mak bekerja pada waktu itu. Saya dan kakak ditinggalkan di bawah jagaan nenek dan Mak dan Ayah hanya datang menjenguk pada hujung minggu. Akan tetapi apabila Umar dilahirkan, Mak menjadi penyokong no 1 penyusuan susu ibu. Mak benar2 nampak teruja. Berkali-kali dia menyuarakan rasa terkilan kerana ceteknya pengetahuan tentang susu ibu pada zamannya. Setiap kali ada saudara-mara atau rakan saya bersalin, Mak akan berkempen supaya menyusu hanya dengan susu ibu. Mak lebih cekap dalam pengendalian susu ibu berbanding saya. Mak bercadang ingin menjaga anak orang dan sudah tentu Mak ingin berkempen susu ibu kepada ibu anak-anak yang bakal dijaganya. Mak juga yang merayu agar saya tidak memberhentikan penyusuan selagi mana saya belum mengandung lagi.

Penyusuan menuntut pengorbanan yang bukan calang-calang. Jika saya kurang makan, susu akan kurang. Oleh itu saya makan tanpa 'skip' termasuk makan nasi semasa sesi makan malam. Kesannya berat saya bertambah 10 kg tetapi saya ketepikan kemahuan terhadap badan yang langsing demi anak.

Tuntutan tugas adakalanya memang mencabar iman. Saya akui agak tertekan dengan kerja tetapi saya terpaksa ketepikan rasa itu. Tertekan bermakna susu yang kurang. Saya memang 'berperang' dengan diri sendiri melawan rasa negatif yang kerap menjengah hati. Menyuarat yang panjang tidak memungkinkan saya mematuhi jadual pemerahan di pejabat. Alhamdulillah Allah mengilhamkan sekumpulan manusia untuk mencipta pam susu yang sangat convenient untuk ibu-ibu bekerja seperti yang dipunyai saya. Sambil menaip, saya mengepam. Sambil menikmati makan tengahari (kan saya tak boleh kurang makan?), saya mengepam.

Keadaan-keadaan ini menyebabkan saya merenung sejenak : sesuatu yang baik itu tidak datang bergolek. Allah sedang berkata : "Berusahalah!" kepada saya demi rezeki Nya yang halal lagi thoyyiban.

Saya memandang penyusuan susu ibu juga sebagai ujian buat diri saya yang kerdil. Setiap ujian yang Allah janjikan kemanisan di hujung jalan buat orang yang bersabar. Seperti yang pernah diceritakan sebelum ini, ada beberapa peristiwa berkaitan penyusuan yang membuktikan kasih sayang Allah kepada hambaNya yang berusaha :

1) Saya dipanggil menghadiri bengkel di Pulau Pinang selama 3 hari. Di hari terakhir, pihak hotel membenarkan late check out tetapi hanya kepada bilangan bilik yang terhad sahaja. Walaupun saya merayu supaya bilik saya dimasukkan dalam senarai kerana saya perlu fridge untuk simpan stok susu namun urusetia memberi keutamaan kepada bilik pegawai pengurusan tertinggi. Saya kecewa. Tetapi Allah Maha Mendengar. Ditakdirkan salah satu bilik ada masalah. Urusetia membenarkan bilik saya dimasukkan dalam senarai late check out..Alhamdulillah!Syukur

2) Minggu tersebut adalah minggu persidangan hakim. Pada malam pertama, Ketua Hakim menghoskan makan malam di kediamannya. Semua urusetia juga dijemput hadir. Tetapi maklumlah apabila melibatkan kumpulan hakim, ada protokol yang perlu dijaga menyebabkan sebahagian besar dari kami berat hati untuk hadir. Di saat yang lain seakan dipaksa hadir, ketua saya terus memberi kelonggaran kepada saya untuk tidak hadir tanpa saya membuka mulut. Alasan : saya menyusu bayi.

3) Juga di minggu persidangan hakim. Saya dilantik menjadi urusetia. Bilik untuk urusetia hanya dua sahaja diberi oleh hotel. Umar masih belum 6 bulan, saya tidak boleh tinggalkannya. Saya ambil bilik sendiri (bilik 6 bintang), semalaman berharga RM400++ tidak termasuk sarapan pagi. Saya habiskan RM500++ untuk bilik, makan dan minum suami (saya terpaksa pujuk suami). Keesokan hari (Isnin) saya mendapat surat kenaikan pangkat. Alhamdulillah!

Satu hari, dalam mesyuarat timbulnya perbincangan penempatan pegawai baru. Salah seorang pegawai mencadangkan pegawai baru lelaki ditempatkan sebilik dengan saya. Tetapi Pengerusi (Big Boss. Nota : seorang lelaki) yang mengetahui saya mengepam susu cepat2 membantah. Di 'smash' nya pencadang itu yang merupakan seorang wanita dengan berkata ' kamu perempuan pun tak paham...saya pulak yang paham'.. Saya hanya tersenyum. Terima kasih Dato' kerana memahami!

Saya tak nafikan penyusuan menuntut masa yang lebih. Bila anak menyusu tiada kerja rumah yang dapat dilakukan melainkan membaca (inilah masanya saya menghabiskan bacaan buku kegemaran). Oleh yang demikian, sokongan suami sangat penting. Suami harus ringan tulang membantu membuat kerja rumah. Saya dan suami sepakat, hal-hal baju dari membasuh baju kotor dan menyidainya sehingga menggosok baju adalah rutin suami. Juga membasuh pinggan. Kecuali melipat baju, hanya baju saya tidak dibenarkan orang lain yang lipat sebab saya cerewet melipat baju, setiap bucu harus tajam!

Apa pun susu ibu adalah anugerah Allah yang tidak ternilai. Sifirnya mudah : berusaha maka kita akan beroleh rezeki. Setiap ibu mampu menyusukan anak. Dengan syarat : harus berusaha. Menyusu sekerap mungkin, mempositifkan mental dan makan makanan berkhasiat adalah kunci kejayaan. Penyusuan menuntut pembelajaran berterusan, ia tidak berlaku secara automatik. Jika ibu MALAS iaitu malas memerah, malas atau rimas anak asyik melekat dengan kita maka gagallah penyusuan itu. Bersoraklah pengeluar susu formula.

Penyusuan adalah galakan Allah, disebut secara terang dalam Al Quran. Apabila Allah menggalakkan bermakna ia sesuatu yang amat baik, melakukannya mendapat ganjaran. Raihlah pahala itu wahai ibu-ibu sekelian!

Monday, July 18, 2011

Permata yang Hilang

Andai aku tahu hidupmu tidak panjang, pasti akan ku hentikan langkahmu di Parlimen,

Mendekati dan mengenalimu dengan lebih akrab.

Di kejauhan aku mengagumi semangatmu yang sentiasa membara memperjuangkan hak rakyat.

Ligat sungguh langkahmu memastikan keadilan ditegakkan di bumi Malaysia.

Namun ku sedar diriku, pegawai kerajaan yang dipaksa menandatangai akujanji taat setia kepada kerajaan memerintah.

Khuatir jika perkenalan denganmu akan membuka jalan fitnah, ku hanya berdiam diri.

Akhirnya kau pergi meninggalkan keluarga dan rakyatmu selama-lamanya.

Terkilannya rasa di hati tidak sempat berkongsi semangat pejuangmu

Al Fatihah buat YB Dr Lo'Lo binti Dato' Haji Ghazali..Semoga tenang di sana

Friday, July 1, 2011

Isra' Mikraj

Semalam, sebaik selesai mengimami solat Maghrib berjemaah, suami meluahkan pemikirannya kepada saya tentang Isra' Mikraj, khususnya bagaimana memahami peristiwa tersebut dengan cara yang mudah.

Berkaitan Isra' Mikraj, umat Islam terbahagi kepada tiga golongan. Golongan pertama, mereka yang benar-benar mempercayainya tanpa sekelumit pun perasaan ragu-ragu, untunglah mereka kerana mereka inilah golongan yang mempunyai iman sebenar. Golongan kedua, golongan yang mempercayai, kerana para muallim berulang kali menceritakan peristiwa ini dan mempercayai kerana takut tergelincir dari Rukun Iman yang keenam : mempercayai qada' dan qadar. Mereka ini iman mereka masih belum benar-benar kukuh dan hanya dapat ditingkatkan dengan amalan-amalan berterusan yang dilakukan dengan ikhlas LillahiTaala.

Manakala golongan ketiga pula ialah golongan yang tidak mempercayainya dan menuduh ianya adalah cerita dongeng 'mana mungkin Nabi ke langit dalam masa sebegitu singkat?'. Inilah sehina-hina umat. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan sedemikian, Nauzubillah!

Bagaimana untuk 'tackle' golongan ketiga ini supaya kembali kepada kepercayaan qada' dan qadar?

Begini : cuba kita fikir. Jarak antara London dan Kuala Lumpur ialah 10,552 km melalui perjalanan udara. Tetapi Allah SWT telah mengilhamkan manusia ilmu untuk mereka kapal terbang, supaya hambaNya di KL boleh sampai di London dalam masa satu hari sahaja. Maka adakah kita mengatakan itu mustahil?Tidak, jika menaiki kapal terbang. Begitulah ibrahnya dengan Isra' Mikraj, Allah mencipta sejenis kenderaan yang dinamakan 'Buraq' (ada pelbagai pendapat tentang fizikal buraq, ada yang berpendapat ianya adalah sejenis haiwan, wallahua'lam) yang membolehkan Nabi SAW sampai ke langit ketujuh dan turun semula ke bumi dalam masa satu malam.

Saya terpegun mendengar tazkirah suami. Sebab saya sendiri pun tidak terfikir sebegitu. Saya kira saya termasuk dalam golongan kedua di atas. Rupa-rupanya setiap perkara realistik di sekeliling kita adalah petunjuk dari Allah akan perkara ghaib!Wallahua'alam

Terima kasih Abang kerana membuka dimensi pemikiran saya terhadap peristiwa Isra' Mikraj. Setinggi-tinggi syukur kepadaMu Ya Allah kerana menjodohkanku dengan suamiku!