Sunday, June 26, 2011

Laksam

Percubaan pertama. Alhamdulillah menjadi!

Bahan laksam :
2 cawan tepung beras
1 sudu besar tepung gandum
3 cawan air
Secubit garam

Bahan kuah :
10 ulas bawang merah - dikisar
4 ulas bawang putih - dikisar
Seinci halia - dikisar
1 sudu besar lada hitam ditumbuk
Santan dari 2 biji kelapa
10 ekor ikan kembong
5 ulas asam keping
5 cawan air
Garam
Gula

Sambal cili :
10 tangkai cili kering
Garam

Bahan tabur :
2 kuntum bunga kantan
Secekak daun kesum
1 biji timun dihiris
1/4 biji kobis dihiris
5 tangkai kacang panjang dihiris

Cara-cara :
1. Untuk membuat laksam, campurkan kesemua bahan ke dalam mangkuk. Kacau sehingga tidak bergentel. Panaskan kukusan. Sediakan tutup periuk yang leper. Sapu permukaan tutup periuk dengan sedikit minyak untuk elak adunan melekat. Tuang bancuhan tepung rata-rata dan kukus. Gulung tepung dan potong apabila sudah sejuk.

2. Rebus ikan dengan 3 cawan air dan 3 keping asam keping hingga empuk. Sejukkan ikan. Asingkan isi dengan tulang. Isi ikan ditumbuk dan masukkan semula ke dalam air rebusan tadi. Tulang-tulang ikan dikisar dengan secawan air. Tapis pati ikan dan tuang ke dalam air rebusan tadi.

3. Masukkan bahan kisar ke dalam air rebusan. Tuangkan santan dan ditambah dengan baki air tadi. Masukkan lada hitam. Masukkan 2 keping asam gelugor. Masak sehingga kuah menggelegak. Perasakan dengan garam dan sedikit gula.

4. Untuk membuat sambal lada, rebus lada kering hingga lembut. Tumbuk hingga lumat dan perasakan dengan garam. Hidangkan dengan bahan tabur.

Tips :
1. Gulung tepung dengan pisau penyapu roti/batang sudu sementara ia masih panas. Dirikan tudung periuk setinggi 60 darjah dan gulung. Tepung akan menggulung dengan sendiri dan memudahkan proses penggulungan.

2. Untuk menambah kemanisan kuah, saya kisar lumat segenggam ikan bilis dan campurkan ke dalam kuah.

(Nota : saya teringat perbualan saya dengan suami di awal perkahwinan. Suami mengaku ibu mentua saya pada mulanya berhajat bermenantukan orang Kelantan juga. Tetapi sudah jodoh suami dengan saya yang bukan orang Kelantan. Sepanjang perkahwinan, saya berusaha mempelajari masakan Kelantan demi memenuhi selera suami. Alhamdulillah kebanyakan menjadi. Saya berharap untuk terus menambat hati suami dan mentua melalui masakan saya. Resepi ini khas didedikasikan untuk ibu mentua saya, Puan Che Saidah..:)

Wednesday, June 1, 2011

Apa ada di sebalik nama?

Mummy tertarik dengan rencana berkenaan sahabat Nabi SAW, Umar Al-Khattab dalam ruangan Agama di Berita Harian pada hari ini. Berikut adalah rencananya :

Sumber : Berita Harian, 1 Jun 2011.

Iqra: Umar tinggalkan contoh kepemimpinan saksama


2011/06/01

SEPANJANG 10 tahun pemerintahannya, Madinah menjadi negara terbesar yang menyinari dunia kerana umat Islam ketika itu berada dalam satu kesatuan hingga mewujudkan kemakmuran, persamaan, persaudaraan dan kemanusiaan.

Kegemilangan pemerintahan Umar Al-Khattab menjadi contoh ikutan kepemimpinan hari ini yang dahagakan keharmonian dan keamanan. Ada yang mahu menjadi pemimpin seperti beliau yang adil terhadap rakyat dan bertindak tegas walaupun dalam perkara membabitkan keperluan keluarganya.
Buku Umar bin Al-Khattab The Conqueror membawa pembaca bersama pemimpin ulung itu mengembara episod demi episod kehidupan beliau yang dipenuhi kebaikan, keindahan, sinar cinta serta kegembiraan rakyat yang berpuas hati dengan cara kepemimpinannya yang adil saksama.
Umar juga pemimpin yang membuktikan idea baru boleh melakar sejarah dengan syarat dilaksanakan sepenuh hati. Beliau juga memperkenalkan subsidi untuk kesejahteraan sosial serta memberitahu rakyat di bawah pemerintahannya mereka dan orang Arab sama.

Dia juga yang pertama menjadikan pengadilan sebagai badan bebas untuk menjamin keadilan hak setiap orang selain membuat peraturan tegas supaya dipatuhi pegawainya. Jika tidak, mereka bakal berdepan tindakan kerana setiap yang melanggar peraturan perlu mene-rima kesannya.

Sebagai pemimpin rakyat, kisah Umar yang membuat kawalan malam untuk melihat lebih dekat kehidupan rakyat sehingga kini menjadi kisah bualan. Malah, itulah contoh sentiasa diulang untuk membuktikan kebijaksanaan serta keprihatinan beliau.

Pastinya semua tahu kisah Amirul Mukminin yang mengambil sendiri gandum dari stor simpanan, memasak dan menyuapkan ke mulut anak kecil yang menangis kelaparan. Itulah jiwa pemimpin yang tidak akan rasa senang jika rakyatnya berdepan dengan masalah.
Membaca buku Umar bin Al-Khattab The Conqueror akan mencambah minat untuk mengenali pemimpin ini dengan lebih dekat dan mendalami daya pemikiran beliau.
Buku setebal 503 halaman boleh menjadi rujukan semua yang mungkin sedang mencari idola untuk dicontohi.

Penulisan gaya novel memudahkan pembaca menyelami serta merasai sendiri pengalaman seolah mereka turut serta mengembara bersama pemimpin agung ini.

Rencana di atas merupakan ulasan buku Umar bin Al-Khattab The Conqueror, tokoh yang Mummy kagumi.

Mummy nak Umar tahu bahawa Mummy dan Papa namakan anak-anak kami atas sesuatu sebab. Mummy dan Papa bukan sahaja suka-suka letak nama yang hanya indah di bibir tetapi tidak membawa apa-apa makna dan harapan. Apabila kami memilih nama Umar untuk anak sulung yang dikasihi, kami berharap agar anakanda bakal mengikut sikap-sikap terpuji Saidina Umar Al-Khattab dan cicitnya Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang terkenal dengan sikap adil dalam pemerintahan.

Begitulah harapan Mummy dan Papa.