Tuesday, October 12, 2010

El Hajj

"Labbaikallah humma labbaik!"
"Panggilan haji...telah tiba lagi...menunaikan ibadah..panggilan Baitullah"

Dua rangkap alunan yang sinonim dengan ibadah haji. Satunya disebut talbiah dan sering dilantunkan oleh para jemaah haji diulang2 semasa berada di tanah suci. Satunya ialah nasyid nyanyian kumpulan El Soraya yang popular satu ketika dahulu.

Siapa yang tak mahu pergi haji? Semua orang tahu ibadah haji ialah Rukun Islam ke lima. Seawal usia tadika lagi kanak-kanak Muslim di Malaysia telah didedahkan dengan Rukun Iman dan Rukun Islam jadi mustahil kalau ada Muslim yang tak tahu Rukun Islam. Kalau ada pun semoga Allah mengampuninya. Oleh kerana ianya Rukun Islam maka hukumnya WAJIB ke atas setiap Muslim yang mukallaf dan berkemampuan.

Saya juga tidak terkecuali menyimpan hasrat menunaikan haji. Tetapi kos menunaikan haji pada orang-orang macam saya yang makan gaji dan cukup-cukup makan ini amatlah tinggi dan simpanan pun tak cukup menampung kosnya. Dengarnya jika pergi melalui muassasah dalam lingkungan RM8,000-RM10,000 dan jika ikut pakej swasta tentulah lebih dari itu. Maka oleh yang demikian saya berhasrat untuk menyimpan di Tabung Haji melalui potongan gaji (selagi saya bergaji..InsyaAllah)

Mak dan Ayah juga telah mendaftar dan selesai menjalani kursus haji. Difahamkan giliran mereka adalah pada tahun 2015. Bermakna jika betul2 ikut tahun giliran Mak akan berumur 62 tahun dan Ayah pula berumur 64 tahun pada masa itu. Tetapi saya amat2 berharap dan berdoa agar giliran mereka berdua dapat dipercepatkan. Maklumlah hidup mati kita siapa yang tahu?

Maa dan Abah pula telah selesai menunaikan ibadah haji pada tahun 1993..Alhamdulillah. Suami bercerita pada masa itu beliau berada di Darjah 6 dan ditinggalkan bersama 5 orang lagi adiknya di bawah jagaan nenek dan sepupunya yang baru habis SPM. Yang terharunya umur adik bongsu suami pada ketika itu baru 6 bulan dan masih menyusu badan tetapi demi tuntutan ibadah beliau terpaksa ditinggalkan. Dalam hal ini saya salute kat Maa sebab sanggup ketepikan perasaan keibuan demi panggilan Allah. I think she did the right thing.. Mungkin berkat pengorbanan Maa, adik suami memperolehi kecemerlangan akademik yang baik.

Bercakap mengenai haji, Mak takkan terlepas daripada menceritakan pengorbanan arwah Wan (emak kepada Mak) melepaskan jemputan haji daripada arwah Aki (ayah Mak) untuk bersama2 mengerjakan haji pada tahun 70an(atau 60an?). Menyedari ibu mentuanya yang sudah uzur dan masih belum menunaikan haji, arwah Wan menolak pelawaan suaminya dengan lembut dan meminta Aki membawa ibunya terlebih dahulu. Arawah Aki akur dan pergilah arwah Aki bersama2 ibunya menunaikan haji. Ditakdirkan arwah Aki meninggal dunia pada tahun 1973 tanpa sempat membawa isterinya pergi haji.

Allah Maha Kuasa. Benarlah juga pepatah "what goes around comes around". Pada tahun 2003, Wan selamat menunaikan haji dengan dibawa oleh Pak Andak iaitu anak lelaki sulungnya. Pada tahun itu juga, beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang atas kegagalan fungsi hati (liver cyrosis).

Bercakap mengenai haji juga, sana-sini akhbar membuat liputan keberangkatan jemaah ke Tanah Suci. Segmen antarabangsa pula sibuk membuat liputan suasana di Makkah Al Mukarramah yang semakin hari semakin dipenuhi jemaah haji seluruh pelosok dunia. Di dada akhbar dilaporka temuramah dengan jemaah yang rata2 gembira kerana berpeluang mengerjakan haji pada tahun ini.

Cuma saya ada sedikit terkilan bilamana saya membaca kenyataan beberapa jemaah yang berpeluang menunaikan haji entah kali ke berapa. Saya sedikit musykil dengan sistem kuota yang diamalkan bilamana mereka yang belum pergi masih lagi menunggu giliran yang sekian lama. Ironiknya, segelintir jemaah berpeluang pergi berkali2. Dalam hal ini saya berpendapat kerajaan seharusnya memandang serius isu ini. Kita faham (walaupun belum pernah pergi tetapi diceritakan oleh jemaah lain) akan keindahan dan ketenangan berada di Tanah Suci yang tak terucap oleh kata-kata. Tetapi alangkah baiknya jika kita yang telah pergi beralah dan memberi laluan kepada yang belum. Ataupun lebih bagus jika duit pergi haji itu disedekahkan kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk mereka pula pergi ke sana (saya la tu antaranya). Saya yakin, besar ganjarannya.

Lain halnya jika kita pergi kali kedua atas sebab menemankan mahram. Contohnya Wan Teh pergi haji kali kedua untuk menemankan anaknya Kak Na. Kak Na belum berkahwin dan ayahnya yang saya panggil Atuk telah meninggal dunia pada tahun 1997.

Saya dan suami telah berbincang mengenai pemergian kami menunaikan haji. Suami bertanya jika ada rezeki sama ada kami mahu ikut muassasah atau pakej yang mahal tapi selesa? Saya memilih muassasah. Biarlah kami menyimpan sehingga jumlah yang cukup2 untuk muassasah. Saya ingin merasai sendiri susah senang beribadah, semoga dengan sedikit kesusahan akan menambah pahala saya. Saya takut jika saya memilih yang mahal dan selesa saya yang tahap iman tak tinggi mana ni akan berasa takbur dengan nikmat yang diperolehi. Bak kata suami 'ramai orang ingat kesenangan itu nikmat. Tetapi ramai tak sedar kesenangan juga adalah merupakan satu ujian malah ianya lebih berat daripada ujian kesusahan'.

Walauapapun, marilah kita sebagai Muslim sama2 berniat dan berazam menunaikan haji secepat yang mungkin kerana kita tidak tahu bila tarikhnya kita dijemput ke rahmat Ilahi. Semoga dengan niat dan ikhtiar ibalas Allah dengan pahala yang sama seperti menunaikan Rukun Islam kelima tersebut...Amin

No comments:

Post a Comment