Sunday, January 22, 2012

Hati ibu

Alhamdulillah diberiNya kesempatan buat kami sekeluarga untuk berkunjung ke Masjid Al Hasanah bagi mengutip secebis ilmu di bumi Bangi bandar ilmu ini. Kami berdoa agar kami istiqamah dalam melaksanakan tujuan kami berhijrah ke bandar ilmu ini. Setiap kali masuk waktu solat, azan bersahut-sahutan dari tiga buah surau di sekitar perumahan kami!Alhamdulillah

Namun ada sesuatu yang mengganggu fikiran saya di masjid sebentar tadi. Ada seorang remaja perempuan yang berpakaian 'kurang sopan' semasa berada di masjid. Saya tidak berniat memperincikan hal 'kurang sopan' itu sebaliknya falsafah di sebalik itu. Saya terperasan kerap kali ibunya menegur anaknya yang berada di bahagian paling belakang supaya memakai tudung dan memerhatikan perlakuan anaknya. Nampak benar risaunya dia terhadap perlakuan anaknya. Saya memandang wajah jernih si ibu dan benar-benar simpati dengannya. Si ibu tekun mendengar kuliah maghrib sedangkan si anak di belakang bersama 2 lagi saudaranya yang lain sibuk bermain handphone.

Saya cuba mempositifkan fikiran. Saya merasakan si ibu memang sengaja mengajak anaknya ke masjid walaupun tahu perlakuan anaknya sebegitu. Sekurang-kurang dia di masjid, dan bukan tempat yang tidak sepatutnya. Dalam hati saya berdoa agar si ibu jangan putuskan doa untuk anak perempuannya. Semoga ibu diberi kekuatan untuk mendidik jiwa anaknya agar mendekati Allah..

(nota : orang yang baik dan jernih hatinya, boleh dilihat melalui kemanisan wajahnya yang sejuk dipandang. Sungguh saya terpesona dengan kejernihan wajah si ibu tadi, saya rasa dia memang seorang yang baik )

No comments:

Post a Comment