Friday, August 31, 2012

Pergi

Kadangkala kehilangan akan menemukan kita kepada suatu yang lebih mulia dan berharga!” 
Ustaz Pahrol Mohamad Juoi @ genta-rasa.com

Berulang-ulang saya membaca ayat ini. Saya mahu mempositifkan fikiran saya bahawa di sebalik kehilangan itu ada hikmah. Di sebalik gugurnya kandungan kedua saya, tentu Allah mahu beri yang lebih baik. Sebaik ianya berlaku dan doktor sahkan keguguran, saya muhasabah sebanyak-banyaknya demi menutup kesedihan yang melanda. Saya hamil di kala jiwa dan fikiran saya kacau bilau, ditambah berjaga malam demi menyiapkan assignment. Di saat kesibukan itu, saya merintih 'di kala umat mengejar 10 malam terakhir, saya sibuk mengejar dateline!'. Walaupun seringkali saya bermonolog agar kandungan itu tabah mengharung ujian, akhirnya ia tewas juga.

Saya teringat kata-kata doktor "itu tandanya kandungan awak tak sihat, sebab tu ia gugur". Betul. Jika ditakdirkan ia membesar, ia akan menjadi kandungan yang tidak sihat dan jika ia lahir ia akan jadi bayi yang tidak sihat. Sesungguhnya saat itu saya sedar Allah tahu setiap kejadiannya dan sejauhmana hambaNya mampu menghadapi ujianNya. Allah mahu berkata "Kamu tidak mampu menghadapinya nanti!" 

Kami akan sabar menanti, Insya Allah.

Sunday, August 12, 2012

Nikmat tidur

Jam sudah menunjukkan pukul 4.00 pagi. Lenguh-lenguh badan dan sakit kepala mula menjengah, isyarat badan perlukan rehat. Saya dongak memandang jam, ada satu jam lagi sebelum bangun semula untuk bersahur. Saya akhirnya memilih untuk melelapkan mata, memberi peluang kepada badan untuk berehat.

Sebaik sahaja kepala diletakkan atas bantal, saya terus lena. Seingat saya, mimpi datang bersambung-sambung. Seingat saya juga saya mengalami mimpi yang panjang, membayangkan saya tidur lama.

Kemudian saya terjaga. Sangka saya dah terlepas waktu sahur, maklumlah tak cukup tidur menyiapkan assignment. Aneh, jarum jam menunjukkan pukul 4.15 pagi. Bermakna baru 15 minit saya tidur. Tetapi saya merasakan tidur saya panjang. Saya sambung tidur, dan mimpi pun bersambung lagi. Sekali lagi saya mengalami mimpi yang panjang. Dan sekali lagi saya terjaga kerana takut terlepas waktu sahur. Sekali lagi keanehan berlaku, jam menunjukkan pukul 4.25 pagi.

Saya merenung insiden yang berlaku pada diri saya pagi tadi. Pada saya ianya satu keanehan dan rahmat mungkin. Tempoh tidur yang pendek tetapi dapat menikmati tidur seolah-olah lena yang panjang. Wallahua'lam

Friday, August 10, 2012

Syukur

Alhamdulillah di bulan yang mulia ini Allah memakbulkan doa saya dan suami. Selepas doktor sahkan kami bakal menerima ahli keluarga baru InsyaAllah tahun hadapan, saya mengambil kesempatan untuk refleksi diri. Terlalu banyak rahmat yang Allah beri kepada hambaNya. Tetapi terlalu sedikit rasa syukur yang dipanjatkan. Dan satu lagi yang saya belajar tentang kehidupan ini ialah, kita semua berhak untuk mencipta satu matlamat dan berusaha ke arah itu. Termasuk matlamat mendapatkan anak. Tetapi dalam hal perancangan keluarga (kerana ia membabitkan aspek fizikal juga), saya dapati jika kita tidak terlalu mengejar matlamat (yang diterjemahkan melalui usaha yang bersulam sedikit keterpaksaan) hanya akan menyebabkan kita kecewa. Agak saya bila kita terlalu nak, badan akan mengeluarkan stressor substance yang mungkin mengganggu hormon kehamilan..Wallahualam