Tuesday, April 12, 2011

FB dan saya

"Kenapa?dan Kenapa?"

Begitulah saya diasak pertanyaan daripada seorang sahabat bila ditanya mengapa saya menutup akaun fb saya. Dahulu saya juga pemilik akaun fb tapi entah bagaimana tergerak hati untuk menutupnya pada Ramadhan yang lepas. Saya pasti ini semua hidayahNya, Alhamdulillah.

Kepada sahabat saya, inilah jawapannya :

Pertama saya tidak sanggup lagi wajah saya dipertontonkan kepada umum, secara sengaja. Saya takut akan mengundang fitnah yang lebih besar. Cukuplah wajah saya ditatap oleh suami sahaja. Takut-takut ada yang download, simpan lepas tu super impose sana sini..nauzubillah!Perkara yang sama juga saya tidak ingin berlaku kepada keluarga mahupun sahabat handai saya yang gambar mereka terpapar di akaun fb saya. Pada saya biarlah segala sisi peribadi saya kekal di tempatnya, tidak dibuka sesuka hati.

Mengenai persoalan tidak takut ke lost contact dengan kawan-kawan lama?Maaf, saya percaya jika sebuah persahabatan itu dibina atas landasan kejujuran dan ikhlas kerana Allah Taala , terpisah beribu batu pun takkan memutuskan persahabatan itu. Lagi pun inilah masanya utnuk mengenali siapa sahabat sebenar kita kan?

Semasa saya mempunyai FB, masa senggang saya banyak dihabiskan menghadap komputer. Jangan tipu jika saya katakan kita semua rasa teruja apabila status FB kita mendapat respon kan?Perasaannya 'ohhh...sungguh thrilled" bila status kita mengundang comment yang banyak. Makanya mulalah the ball keeps rolling, setiap saat dan ketika buka FB semata2 nak tengok siapa lagi yang respon. Sedangkan masa senggang itu sepatutnya diisi dengan ibadah, kerja-kerja rumahtangga, melayan kerenah anak-anak dan sebagainya.

Seterusnya, saya ingin menjaga hati saya daripada perasaan riak dan ujub. Riak dan ujub boleh timbul dari pelbagai perkara. Contohnya kalau kita post aksi anak-anak kita yang sangat comel lalu terpapar lah komen "wahhh...comelnya anak awak!" "he's so cute!" dan seumpama dengannya atau aksi kita berpakaian cantik lalu dipuji "cantiknya baju awak". Pernahkah kita terfikir apa perasaan ibu yang mempunyai anak cacat?Atau perasaan orang miskin yang pakaiannya compang camping? Apakah kita berbangga dengan nikmat anak comel dan pakaian indah lalu terdorong untuk ditonjolkan buat tatapan umum? Kuatkah iman kita untuk mengusir bisikan-bisikan halus yang menghembus riak dalam hati bila dipuji sedemikian rupa? Bagi saya TIDAK. Saya kenal diri saya, tahu tahap keimanan saya maka selagi mana ada jalan untuk mengusir bibit riak itu, InsyaAllah saya akan cuba mengikuti jalan itu.

Bagaimanapun saya tidak menafikan kebaikan yang dibawa oleh FB kepada masyarakat. FB mula diterima sebagai satu medium dakwah oleh para daei kontemporari. Jabatan-jabatan kerajaan juga mula menggunakan FB sebagai satu medium untuk menyampaikan perkhidmatan yang mudah kepada rakyat. Pemimpin-pemimpin politik mempergunakan FB sebagai jambatan mendekatkan komunikasi dengan rakyat dalam menyampaikan aspirasi mereka. Para peniaga juga menggunakan FB sebagai wadah peluasan empayar perniagaan mereka.

Walauapa pun pandangan dan pendapat, biarlah segala yang kita lakukan atas dasar kesederhanaan. Sederhana dalam bercakap, sederhana dalam berbelanja, sederhana dalam makan minum. Semoga apa jua kebaikan yang dilakukan menjadi ibadah melengkapkan kehidupan kita, InsyaAllah.

Friday, March 18, 2011

Kelahiran

Esok, InsyaAllah jika diizinkan Allah untuk menyambung hayat, Umar akan berusia genap dua tahun. 2 tahun dah anak Mummy, pejam celik 2 tahun dah Mummy pegang title ibu, jawatan yang Mummy tak boleh resign sampai bila-bila.

Saat ini teringat momen-momen kelahiran Umar. Seawal saya disahkan mengandung, saya dan suami telah merancang nama anak. Jika lelaki, dinamakan Umar sempena tokoh yang saya kagumi Saidina Umar Al-Khattab dan Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Jika perempuan dinamakan Nadra yang bermaksud keserian/berseri-seri.

Bermula saat itu, saya dan suami mula memanggil anak dengan kedua-dua nama tersebut berselang-seli walaupun setelah scan jantina 'ini Umar or Nadra?'. Rutin pemeriksaan saya hadiri, adakala saya bersendirian kerana suami tidak dapat pelepasan. Teringat semasa saya mengandung 8 bulan, saya memandu sendiri ke klinik. Sampai di klinik BP saya naik dan saya disuruh berehat sebentar. Seketika BP saya turun, dan saya katakan pada nurse mungkin sebab saya baru sampai, drive sendiri pulak tu. 'Awak masih drive?' tanya nurse, terkejut agaknya.

Saya disahkan ada GD (gestational diabetic). Kencing manis semasa mengandung....dalam ertikata lainnya. Doktor menyatakan saya tidak boleh overdue, takut baby besar. EDD saya ialah 19.3.2009. Jika belum juga rasa sakit menjelang tarikh EDD, kemungkinan besar saya akan diinduce.

Minggu terakhir kehamilan, saya diberi MC. Saya diminta datang dan masuk wad pada 18.3.2009. Sepanjang minggu MC tersebut, saya mop satu rumah, cuci kipas siling, banyakkan berjalan semata-mata untuk induce labor. Tapi si Umar nih seronok agaknya duduk dalam perut Mummy!Sikit pun takde tanda nak keluar!Minggu itu Ayah dan Mak beserta Adik telah sedia standby di rumah saya takut2 saya sakit bila suami bekerja.

18.3.2009

Setelah memastikan segala pakaian saya dan baby serta keperluan lain siap dimasukkan dalam beg, saya bersalam dengan Ayah dan Mak memohon restu dan doa agar kelahiran cucu mereka dipermudahkan. Jam 6 petang, saya dan suami menuju ke Hospital sepertimana diarahkan. Masih lagi tiada sebarang tanda untuk baby keluar!

Seperti biasa, fobia saya terhadap hospital datang sehingga menaikkan BP saya. Kasihan suami!Terpaksa tunggu 3 jam di kaunter pendaftaran sebelum saya dibenarkan ke wad untuk menunggu BP saya turun. Lega bila dapat masuk wad dalam pukul 9.30 malam. Suami tidak dibenarkan menunggu, mujur juga saya berkongsi bilik dengan 3 ibu yang baik hati. Beria2 saya salam, cium tangan suami memohon maaf dan restu. Bermulalah rutin tidur yang sengaja diganggu untuk check BP dan ECG.

19.3.2009

Akhirnya pada jam 6.00 pagi doktor memasukkan ubat induce. Setengah jam kemudian saya mula merasai contraction. Jam 10.00 pagi saya dengar bunyi 'dup!'. Rupanya air ketuban dah pecah dan disertai dengan darah...Alamakk...kembar darah ke?Orang kata kalau kembar darah...sakit!Doktor datang periksa dan bukaan saya ialah 4cm. Doktor kata saya perlu tunggu sehingga dapat cue dari labor hall yang buat masa tu tengah penuh dengan pesakit.

Jam 12.00 tengahari, suami datang melawat. Saya mengadu 'sakiittttttttt...sakitt sangat bangg......'. Saya pandang muka suami, di sebalik tenang dia mengakui dia rasa nak menangis tengok keadaan saya masa tu. Suami membaca Quran di sisi saya, berkali2 saya minta ampun dari suami. Suami usap dahi saya menyuruh saya bertenang. Saya akui, saat tuh saya dah tak boleh bertenang, mulut saya terkunci sebab terlalu sakit !"Ya Allah, sakitnya nak lahirkan seorang umatMu ini..". Tak dapat saya bayangkan kesakitannya, setahun lebih saya fobia nak bersalin. Saya difahamkan ada sebahagian ibu masih boleh berjalan2 walaupun contraction yang kerap tetapi tidak bagi saya!Saya langsung tidak dapat turun dari katil dek kerana kerap dan kuatnya contraction!Roommate saya yang dah berpengalaman bersalin kata 'macam nak bersalin dah'

Jam 3.30 petang, nurse masuk untuk beri ubat pada ibu2 yang lain. Sebaik terpandang kelibat nurse saya bertanya 'lambat lagi ke nurse nak masuk labor room?'..nurse bertanya 'awak dah sakit sangat ye?ada rasa baby nak keluar?'. Saya jawab 'Ya!'

Terus nurse tinggalkan ubat2 dan check bukaan saya. MasyaAllah!Dah 10 cm!bila2 baby boleh kuar!Nurse bergegas tolak katil saya di bilik prosedur bersebelahan wad. Doktor dan nurse lain dipanggil untuk bantuan. Saya tengok mereka kelam kabut sekali. Nurse sempat tanya doktor 'nak bawa dia naik labor room sekarang ke?' yang mana dijawab doktor sedikt menjerit 'tak payah!nanti dia bersalin dalam lif!'

10 minit kemudian, dengan hanya dua kali teran, lahirlah Umar bin Mohd Hafeez ke muka dunia. Alhamdulillah......mudah. Selepas dibersihkan, Umar dibawa kepada saya untuk disusukan. Alhamdulillah!Saya bersyukur dengan polisi hospital tersebut yang mesra Penyusuan Susu Ibu.

Bermula rutin saya sebagai seorang Ibu.

"Umar, dengarlah kata-kata Mummy..

Mummy tak minta anak Mummy menjadi budak pandai, selalu mendapat nombor satu dalam kelas. Tapi Mummy doa supaya anak Mummy menjadi orang beriman, berakhlak mulia, menjaga hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia.

Umar, andai Allah perkenankan doa Mummy agar anak Mummy menjadi seperti dua tokoh yang Mummy kagumi itu, jadilah pemimpin yang amanah seperti mereka.

Mummy dan Papa akui bahawa kami bukanlah manusia sempurna tetapi kami berharap sepanjang kami memikul amanah mendidik anak-anak, secara tidak langsung kami mendidik diri sendiri menjadi contoh ikutan terbaik anak-anak.."

Jadikanlah kehadiranmu menyenangkan, kematianmu ditangisi.

Andai Mummy dan Papa pergi dahulu, jagalah adik-adikmu sebaiknya."





Monday, March 14, 2011

Pesan untuk sahabat

Dulu-dulu sebelum saya berkahwin, saya terfikir aku akan kahwin ke?Ada ke orang nak kat aku?

Saya tidak mempunyai boyfriend sejak zaman belajar. Dulu-dulu, zaman iman nipis terasa juga bila tengok kawan-kawan ber'couple'. Sesekali teringin juga nak keluar 'dating'. Macam-macam bermain di fikiran 'aku nih tak laku ke?tak cun ke takde sorang pun lelaki nak kat aku?'. Sampai terfikir bakal jadi andartu...oh tidakkkkkkkkk!Betapa advancednya pemikiran saya sampai saya dah buat plan B : ambil anak angkat kalau saya tak kahwin2 sebab ultimate aim saya ialah ada anak!

Akhirnya Allah menemukan jodoh saya dengan suami. Dikurniai seorang anak lelaki yang sangat lincah, tiada sebab untuk saya tidak merasa syukur.

Sesekali saya mendengar keluhan daripada rakan-rakan sekeliling yang masih belum bertemu jodoh. Pada pandangan mata kasar saya, mereka ini bukan tiada rupa (ada!), bukan tiada ilmu tetapi jodoh yang lambat.

Kepada kawan-kawan yang belum bertemu jodoh, janganlah kalian merasa bimbang seperti mana kebimbangan saya sebelum bertemu jodoh dahulu. Fokuskan kepada pembentukan akhlak diri yang baik, kerana kelak kalian akan menjadi ibu yang kuasa didikannya amat besar pada diri anak-anak. Naikkan harga diri kalian dengan meningkatkan tahap malu, kerana malu itu pakaian takwa.

Janganlah kamu merasa rendah diri kiranya kamu dipingit ibu bapa, kerana pingitan itulah yang menaikkan harga diri kamu. Janganlah kamu merasa terkongkong apabila keluar terpaksa diteman kerana kamu ibarat permata Habib Jewel, yang dikawal ketat setiap masa kerana nilainya yang begitu tinggi!

Usahlah kamu bimbang kerana jika kamu seorang yang baik, InsyaAllah jodoh kamu pun orang yang baik juga. Ya, memang kamu perlu usaha tetapi bukanlah dengan cara yang tidak sepatutnya. Janganlah kamu malu merisik perihal pemuda idaman kamu, risiklah dengan cara terhormat sepertimana Saiyidatina Khadijah merisik Nabi Muhammad SAW. Mana ada 'perigi cari timba'!Perigi itu kan dibuat dari batu konkrit, masakan boleh berjalan?

Janganlah kamu mempublisitikan diri kamu dengan sengaja mencipta kontroversi. Kelak orang akan jelak dengan kamu. Janganlah kamu mengenakan diskaun akan diri kamu dengan berpakaian tidak mengikut sunnah: terdedah aurat, berlebih-lebihan dalam perhiasan dan warna, memakai gelang kaki, tudung warna-warni berbonggol unta untuk menarik perhatian ajnabi. Tahukah kawan-kawan bahawa lelaki amat menyenangi perempuan pemalu?Tahukah kawan-kawan bahawa perempuan berpakaian sebegitu pada mereka perempuan kurang sifat malu?

Usahalah untuk memperbaiki diri, kelak InsyaAllah jodoh yang baik akan menyusul tiba.
Saat itu jangan lupa mengundang saya ke walimah kamu!

Wassalam

Tuesday, December 14, 2010

Nak ikut?Tak nak ikut?

Berapa ramaikah di antara kita yang menyerahkan segala keputusan dalam hidupnya kepada orang yang lebih tua?Selaku manusia dewasa tentu kita merasakan diri sendiri yang lebih berhak membuat keputusan atas diri. 'ahhhh...duit aku. Susah senang aku tanggung sendiri. Siapa yang peduli?' adalah kalimah yang sering berlegar di fikiran apabila otak sarat memikirkan sesuatu perkara yang memerlukan keputusan dibuat. Contohnya mahu belajar di mana, dalam atau luar negerikah?Kereta apa nak beli?Nak beli rumah yang bagaimana hatta soal teman hidup.

Saya bukanlah seorang anak yang terlalu taat kepada ibu bapa sehingga segala keputusan dalam hidup saya diserah bulat-bulat kepada mereka. Malah mereka juga bukanlah ibu bapa yang overly protective. Tetapi saya sentiasa percaya mereka adalah manusia yang lebih dahulu makan garam, merasai pahit manis pentas kehidupan ini berbanding dengan kita selaku anak. Maka setiap keputusan dibuat bersandarkan kepada pengalaman dan dipandu akal fikiran daripada pengamatan hidup mereka. Tidak salah jika dikatakan keputusan mereka adalah waras dan baik (jika tidak terbaik).

Ada beberapa perkara dalam hidup saya dibuat atas keputusan ibu bapa.

Insiden yang pertama, saya masih ingat lagi semasa saya dan ayah menjemput kakak pulang dari asrama kakak memberitahu ayah akan keputusan ujian Bahasa Perancisnya yang agak teruk. Ayah lalu bertanya 'tidak ada bahasa pilihan lain kah?' dan kakak menjawab 'ada, Bahasa Arab'. Ayah dalam nada yang sedikit marah mempersoalkan mengapa kakak tidak memilih Bahasa Arab dan berceramah menyatakan Bahasa Arab itu bahasa syurga, bahasa Al-Quran dan dapat pahala jika mempelajarinya. Saya yang ketika itu berada di tempat duduk belakang hanya mendiamkan diri. Dalam hati saya bertekad andaikata saya mendapat tempat di sekolah kakak, saya ingin memilih Bahasa Arab sebagai subjek bahasa pilihan.

Alhamdulillah saya ditawarkan belajar di sekolah yang sama dengan kakak. Tanpa berfikir panjang dan dengan peristiwa kakak dimarahi ayah kerana tidak mengambil Bahasa Arab masih segar dalam kotak ingatan, saya nekad mempelajari Bahasa Arab. Hasilnya Alhamdulillah saya memperolehi keputusan A bagi Bahasa Arab semasa PMR.

Kemudian pada ketika saya berhasrat untuk membeli kereta sendiri, ayah menyarankan kereta yang saya pakai ketika ini. Walau perancangan asalnya saya hanya ingin melihat-lihat dulu, ayah menyarankan saya beli sahaja kereta tersebut. Lama saya membuat keputusan menimbangkan kemampuan saya ketika itu. Ayah menenangkan saya 'pada mula memang kita terasa kekurangan duit tapi lama kelamaan kita akan biasa. Pandai-pandai lah rancang kewangan'. Maka dengan hati yang 50-50, saya membeli kereta tersebut. Acapkali saya menyebut ini kereta pilihan ayah saya.

Alhamdulillah setelah hampir 6 tahun memakainya, 'my baby wheeler' seperti yang saya gelarkan tidak membawa banyak masalah kepada saya dan masih lagi berjasa kepada saya sekeluarga sehingga ke saat ini. Tak sia-sia saya mengikut nasihat ayah.

Itu cerita yang baik.

Sekarang saya ingin bercerita akibat tidak mendengar nasihat orang tua.

Saya merupakan pelajar sekolah menengah lulusan sains tulen. Keputusan saya juga agak baik dengan mendapat cemerlang dalam subjek Kimia dan Biologi. Tetapi dalam borang UPU, pilihan pertama dan kedua saya ialah jurusan undang-undang dan pilihan 3-5 barulah saya memilih jurusan sains. Entah mengapa kecenderungan terhadap jurusan undang-undang datang secara tiba-tiba. Saya telah ditawarkan untuk mengikut pengajian matrikulasi undang-undang lebih awal sebelum keputusan UPU keluar. Akibatnya sebelum tarikh mendaftar yang sepatutnya, saya mendapat dua tawaran yang berbeza. Saya dipaksa membuat keputusan yang menentukan hala tuju masa depan saya.

Saya menjadi keliru. Mak berkeras mahukan saya mengambil jurusan sains. Mak sangat-sangat berharap agar salah seorang anaknya menjadi doktor. Tapi saya tidak yakin, saya mabuk darah. Sedangkan kakak yang keputusan matriksnya elok pun gagal mendapat tempat di fakulti perubatan apatah lagi saya yang agak kurang rajin. Akhirnya saya mengambil jurusan undang-undang. Saya tahu saya telah mengecewakan Mak, ada riak sedih di wajah Mak semasa menghantar saya mendaftar matrikulasi undang-undang. Saat itu saya rasa benar-benar tiada sokongan.

Sepanjang setahun pengajian matrikulasi, saya kerap ditimpa demam. Boleh dikatakan setiap bulan saya pasti demam yang disertai batuk dan selesema. Maka setiap bulan saya terpaksa 'tuang' kelas akibat terlalu mengantuk selepas mengambil ubat batuk. Akibatnya, pelajaran saya merosot.

Saya mula muhasabah diri. Kepada Mak saya mohon maaf andaikata keputusan saya mengambil jurusan ini melukakan hatinya. Jawab Mak 'takpe, Mak redha. Mak doakan yang terbaik'. Buat pertama kali itulah saat saya rasakan riak keikhlasan dalam keredhaan Mak dan hati saya tenang.

Sekarang saya telah 11 tahun bergelumang dalam dunia undang-undang termasuk zaman pengajian. Jatuh bangun pahit manis terpaksa ditelan kerana itulah takdir yang ditentukan ke atas saya. Sejujurnya saya mengakui bahawa apabila diri diduga hebat sepanjang 11 tahun ini, saya tidak dapat lari daripada memikirkan 'apakah ini balasan akibat tidak mendengar nasihat ibu bapa?'. Ya, saya manusia biasa yang tidak dapat lari daripada lintasan-lintasan hati yang datangnya dari syaitan, yang cuba memesongkan hambaNya daripada menerima takdir Allah.

Tetapi apa yang penting di sini ialah saya cuba memberi mesej bahawa taatilah ibu bapa dan turutilah kata-kata mereka selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak. Saya percaya walau pada mulanya sukar dan kita terpaksa berperang dengan kehendak hati, InsyaAllah satu hari hikmahnya akan dapat kita kutip. Niatkan bahawa dengan mengikuti nasihat mereka, sedikit sebanyak akan menggembirakan hati kedua-duanya. InsyaAllah Allah akan menerangi jalan hidup kita. Hanya masa yang menentukan...

Monday, December 6, 2010

Surat cucunda untuk nenda

Assalamualaikum Tok Ma?Tok Ma buat apa tu?Tok Ma dah makan sesudu minyak zaitun yang Tok Ma beli buat ubat lelah di MAHA tempoh hari?Tok Ma jangan lupa makan tau macam yang Mummy cakap. Umar dengar Mummy cakap kat Tok Ma, Mummy dapat info dari mana entah dikatakan makan satu sudu besar minyak zaitun setiap hari bagus untuk kesihatan. Mummy memang suka ilmu-ilmu kesihatan ni. Wan pun suka. Nanti kalau ada tips lagi Umar beritahu Tok Ma ok?

Tentu Tok Ma tertanya-tanya kenapa tiba-tiba Tok Ma dapat surat dari Umar kan?Macam ni, dua tiga menjak ni Umar selalu dengar Tok Ma cakap kat Mummy dan Papa yang Tok Ma nak bawa Umar balik duduk di Kelantan bila Umar dah reach 2 tahun. Hummm ada juga Umar dengar Mummy dan Papa tak setuju tapi diorang tak cakap depan Tok Ma yang diorang tak setuju. Mummy dan Papa discuss sesama sendiri je.

Tok Ma yang Umar kasihi,

Bukan Umar tak nak ikut Tok Ma tapi untuk pengetahuan Tok Ma setiap hari bermula 6.30 petang, Umar nak buka channel 106, dengar zikir dalam slot Indahnya Iman. Tapi Umar tengok Tok Ma nak tengok sinetron di channel 104 pada masa yang sama. Nanti Tok Ma terlepas pulak sinetron kegemaran bila Umar tinggal dengan Tok Ma nanti.

Yang kedua, kalau masak Mummy tak suka bubuh MSG..alaaa apa tu?ajinomoto!haaa dah ingat dah. Makanan yang Mummy atau Wan masak semua MSG free. Kan Umar cakap Mummy dan Wan suka ilmu kesihatan?Tapi hari tu Umar dengar Tok Ma cakap kat Mummy kalau tak bubuh MSG tak sedap. Tapi Umar cakap makanan ada MSG lagi tak sedap!Umar tak suka la Tok Ma. Jadi kalau Umar tinggal dengan Tok Ma terpaksalah Tok Ma masak makanan yang lain untuk Umar, yang takde MSG. Kesian Tok Ma...sebab Umar tak makan makanan ada MSG.

Oh ya!Lupa nak beritahu Tok Ma. Umar tak suka mandi air sejuk. Umar suka mandi air suam, macam masa Umar baby dulu. Mummy pun pernah dengar doktor kat TV cakap sebenarnya orang-orang sebaya Umar selalu demam sebab perubahan cuaca. Kadang-kadang mandikan anak dengan air sejuk waktu tengahari terik pun boleh sebab demam. Sebab itu Umar suka mandi air suam. Tok Ma perasan tak Umar jarang demam?Sebab tu la kut. Tapi hari tu Umar dengar Tok Ma cakap kat Mummy mandikan anak dengan air sejuk tu bagus. Boleh kuatkan tulang anak. Mummy cakap kat Umar dia tak percaya sebab kalau nak tulang kuat Umar kena minum banyak susu sebab susu banyak kalsium yang kuatkan tulang. Umar suka minum susu Mummy sebab banyak kalsium. Itu sebab tulang Umar keras kut walaupun rangka tubuh Umar kecil. Hummmm..nanti kalau Umar tinggal dengan Tok Ma, kesian Tok Ma kena jerang air panas untuk sediakan air mandian Umar.

Tok Ma yang Umar sayangi,

Umar memang suka tidur dalam buai, nyamannnnn je bila dihenjut buai tu. Cepat je Umar lena. Lama pulak tu. Tapii......Umar suka dibuai perlahan-lahan. Umar terkejut kalau orang buai kuat-kuat sebab Umar tak biasa. Mcam hari tu Tok Ma henjut buai Umar, terlambung-lambung Umar dibuatnya dan memang cecah lantai la. Tergamam Umar dibuatnya. Cepat-cepat Wan datang dan tegur Tok Ma. Wan cakap kalau buai kuat-kuat Umar tak nak tidur. Lepas Tok Ma buai perlahan-lahan baru Umar boleh tidur. Rumah Tok Ma takde buai kan?Kesian Tok Ma kena sediakan buai untuk Umar kalau Umar tinggal dengan Tok Ma.

Sebab lain pulak kalau malam-malam nak tidur Umar suka mengendeng dengan Mummy..nyonyot kat Mummy. Kalau tak Umar tak lena tidur. Kalau Umar jauh nanti Umar nak nyonyot dengan siapa?

Hari tu pernah Mummy cakap kat Umar Mummy nak hantar Umar pergi school. Mummy cakap Umar dah besar. Mummy selalu cakap Umar anak yang sociable, dan kalau hantar Umar pergi school mesti Umar lagi seronok sebab ramai kawan, banyak mainan. Jadi Umar nak pergi school. Mummy pun ada la survey few school kat area Bangi sebab InsyaAllah jika dipermudahkan segala urusan kami sekeluarga nak pindah duduk di rumah sendiri di Bangi. Tapi kat rumah Tok Ma takde school kan?Ke ada?

Kesimpulannya biarlah Umar tinggal dengan Mummy dan Papa. Nanti malam-malam Mummy menangis teringat pada Umar. Hehe!Lagipun Umar tak naklah menyusahkan Tok Ma. Umar nih cerewet sikit.

Ok lah Tok Ma, Umar nak pergi main khemah dulu ye?Nanti kirim salam pada Tok Bah dan semua pak cik dan makcik Umar ye?

Wassalam.

Yang benar,
Umar

Friday, December 3, 2010

No Plastic Day

Saya menyokong penuh langkah sesetengah kerajaan negeri yang menjadikan hari tertentu sebagai "No Plastic Day'. Walaupun kadangkala saya terlupa dan tidak membawa sebarang beg untuk mengisi hasil tuaian beli-belah, tapi saya tidak merungut. Walaupun terpaksa mengangkut barang dari troli banyak kali, tetapi saya gembira.

Tetapi pagi ini saya tersentak dengan kenyataan di Berita Harian seperti di bawah :

Kempen hari tanpa plastik jejas pengusaha

2010/12/03

PUTRAJAYA: Tindakan kerajaan Pulau Pinang menguat kuasa hari tanpa plastik yang mengharamkan penggunaan beg plastik di pasar raya dan pasar raya besar menyebabkan pengusaha kerugian hampir 50 peratus dan mungkin gulung tikar.

Sehubungan itu, Presiden Persatuan Pembuatan Barangan Plastik Malaysia (MPMA), Lim Kok Boon, menggesa kerajaan negeri mempertimbangkan semula dasar itu dan mencari rumusan lebih praktikal yang menguntungkan semua pihak.
MPMA sudah berdialog dengan kerajaan negeri baru-baru ini dengan masing-masing mengemukakan pandangan, termasuk kajian saintifik mengenai kebaikan serta keburukan bahan plastik.

Kita harap Ketua Menteri (Lim Guan Eng) mengambil kira periuk nasi lebih 1,500 pekerja di 38 syarikat menganggotai persatuan, malah saya yakin punca pendapatan lebih ramai pekerja akan terjejas kerana ada pengusaha atau pengeluar barangan plastik yang tidak bernaung di bawah MPMA.

Kami menyokong penuh usaha kurangkan, guna semula dan kitar semula beg plastik tetapi berharap hari tanpa plastik dihadkan kepada tiga hari supaya tidak menjejaskan perniagaan, katanya ketika dihubungi, semalam.

Julai tahun lalu, kerajaan Pulau Pinang mengisytiharkan Isnin sebagai hari tanpa plastik yang menjadi sebahagian daripada kempen mengurangkan pelepasan karbon yang menjejaskan lapisan ozon.

Saya tidak pasti apakah yang tersirat di sebalik kenyataan tersebut. Almaklum la kebelakangan ini banyak sungguh isu politik yang timbul atau sengaja ditimbulkan. Saya bukanlah seorang yang suka berpolitik, saya ialah seorang yang non-partisan, mengundi berdasarkan calon yang layak bukan atas dasar kepartian dan saya sungguh muak dengan isu politik yang dipolemikkan di media massa saban hari.

Tetapi hati kecil saya berbisik bahawa kenyataan di atas adalah berunsur politik semata-mata. Wallahua'lam.

Kerana sebagai manusia yang bertanggungjawab seharusnya dia mesti sayangkan bumi ini untuk masa depan generasi akan datang. Dia seharusnya menyokong apa sahaja usaha untuk melestarikan alam ini untuk kehidupan anak cucu cicitnya juga.

I AM AGAINST THIS STATEMENT!

Wednesday, November 3, 2010

Hub Hiburan : Saya Sokong 100%

Kepada PM yang dihormati,

Saya, rakyat Malaysia yang dilahirkan pada hari kebangsaan menyokong 100% usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia hub hiburan JIKA DAN HANYA JIKA :

1) Qari-qari terkemuka seperti Sheikh Said Al-Ghamidi, Sheikh Jibril dan sebagainya diundang setiap bulan dan memperdengarkan lantunan ayat Quran yang sangat merdu lagi syahdu di atas pentas di kawasan Central Market atau Bukit Bintang

2) Masa operasi aktiviti malam iaitu Qiyamullail di masjid-masjid dilanjutkan dari selepas Isyak sehingga Subuh keesokan harinya dan digalakkan berterusan pertandingan ibadah selama 24 jam tanpa henti

3) Perbanyakkan konsert-konsert nasyid daripada penyanyi nasyid tempatan. Penyanyi nasyid hendaklah lelaki sahaja sekiranya ditonton oleh penonton lelaki dan perempuan. Penyanyi nasyid wanita hanya dibenarkan mengadakan konsert di hadapan penonton Muslimah sahaja dan di tempat tertutup.

4) Melonggarkan syarat mengadakan konsert bagi penyanyi nasyid luar negara seperti Maher Zain, Sami Yusuf dan Opick.

5) Perbanyakkan DVD bacaan AlQuran dan nasyid dan turunkan harganya.

6) PBT mengeluarkan garispanduan seragam tentang kebenaran memainkan muzik di majlis perkahwinan. Garispanduan itu antara lainnya mestilah menggariskan alatan muzik yang dibenarkan ialah gegendang dan bukan alatan bertali. Ianya hendaklah dimainkan secara live tanpa pembesar suara yang boleh mengganggu komunikasi tetamu-tetamu yang hadir

7) Memperbanyakkan rancangan realiti mencungkil bakat qari dan penyanyi nasyid Muslim

Sekian, diharap mendapat pertimbangan YAB Datuk Seri. Saya yakin lebih ramai lagi pelancong akan datang ke Malaysia sekiranya cadangan di atas dilaksanakan. Bukankah ramai pelancong Arab yang datang ke Malaysia?

Yang benar,
~Mummy Umar~